Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Di saat orang ramai hanya mampu menjerit di pesisir pantai, Leftenan Komander Mohd Firdaus Arbaain bertindak sebaliknya dengan terjun ke laut dan berenang pantas ke arah bot pelancong yang terbalik demi menyelamatkan nyawa, termasuk dua anak kecil yang sedang menangis ketakutan.
Insiden yang berlaku di Pantai Teluk Batik, Perak pada Ogos 2023 itu dikenang semula dengan penuh penghormatan apabila Pegawai Laksana KD Sri Indera Sakti itu menjadi penerima tunggal Bintang Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.
Bagi Mohd Firdaus, 42, anugerah itu bukan hanya milik beliau seorang sebaliknya ia adalah pengiktirafan kepada setiap wira dan wirawati yang sentiasa berkhidmat kepada negara serta rakyat.
“Ini juga adalah pengiktirafan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya.
“Saya juga dedikasikan anugerah ini kepada keluarga saya... ketika insiden itu berlaku, isteri dan anak saya turut berada di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama selepas istiadat berkenaan.
Mengimbas semula insiden berkenaan, Mohd Firdaus yang ketika itu sedang beriadah bersama keluarga tidak menyangka hari tersebut menjadi detik yang mengubah hidup ramai orang, termasuk dirinya sendiri.
Beliau berkata ketika bersiap untuk menjamu selera, isterinya ternampak sebuah bot yang dinaiki oleh 15 orang dalam keadaan hampir terbalik dan tidak sampai seminit bot itu pun terbalik.
Mohd Firdaus berkata jeritan penumpang dan tangisan kanak-kanak selepas bot itu terbalik ‘menggerakkan’ tubuhnya untuk berenang menyelamatkan mangsa selain pengalaman beliau sebagai anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM selama 10 tahun.
“Saya beranikan diri berenang dari pantai ke lokasi bot dan serahkan jaket keselamatan kepada semua mangsa. Saya juga tolong pakaikan jaket keselamatan itu kepada dua anak (Mohammad) Hafiz (Johari),” katanya.
Dalam insiden itu, isteri Mohammad Hafiz, Nurul Afiqah Abdullah Sani yang ditemukan terperangkap di bawah bot yang terbalik meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Manjung manakala adik dan dua anaknya serta 10 individu lain terselamat.
Mohd Firdaus berkata walaupun sudah dua tahun berlalu, insiden itu meninggalkan kesan mendalam malah sehingga kini, beliau masih berhubung dengan keluarga Mohammad Hafiz.
Tahun lepas, beliau dipertemukan semula dengan keluarga itu selepas dijemput menjadi tetamu program audio siar sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Selepas program itu, baru dia tahu siapa yang menyelamatkan dia dan keluarganya… saya terus pergi berjumpa dengan dia dan anak-anaknya di Parit Buntar.
"Saya juga baru sahaja berjumpa dia dan anak-anak di Langkawi semasa LIMA (Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi) baru-baru ini… saya bawa mereka melawat sekitar kapal dan sepanjang program itu.
“Saya kekalkan silaturahim sebab saya masih teringat macam mana keadaan anak-anak dia waktu itu... menjerit, menangis dan minta tolong… saya bayangkan mereka itu macam anak saya sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial