KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan bahawa penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan bukan untuk dibeli atau dilobi, sebaliknya hanya diberikan kepada individu yang benar-benar layak serta berjasa kepada kerajaan dan negara.
Sultan Ibrahim bertitah walaupun kerajaan telah menggariskan syarat untuk dipertimbangkan, Seri Paduka Baginda tetap akan menilai semula setiap calon yang dicadangkan.
“Mengikut telek pandang saya, hanya individu yang telah lama berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, atau yang telah mengharumkan nama negara, wajar untuk diperkenankan. Memang setiap tahun tidak banyak yang melepasi syarat tersebut. Walaupun, ada pihak yang melobi, saya tidak akan layan.
“Pangkat Datuk dan Tan Sri bukan untuk dibeli. Kalau ada yang banyak sangat duit, buatlah amal jariah, bantu orang miskin yang memerlukan,” titah Seri Paduka Baginda.
Sehubungan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah penerima yang berjaya pada hari ini seharusnya menghargai dan berbangga dengan anugerah yang dikurniakan.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara di sini hari ini.
Turut berangkat pada istiadat itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta barisan Menteri Kabinet.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh negara atas ucapan tahniah serta doa yang sentiasa mengiringi setiap langkah Seri Paduka Baginda dalam menjalankan tugas dan amanah sebagai Ketua Negara.
“Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan semua acara sempena sambutan Hari Keputeraan saya pada tahun ini.
“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga negara Malaysia tercinta ini sentiasa dilimpahi rahmat dan diberkati, kekal aman, maju dan makmur,” titah Seri Paduka Baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial