KUCHING, 11 Ogos (Bernama) -- Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah bagi rundingan penting ASEAN-China berkaitan Laut China Selatan, Mesyuarat ke-48 Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-China mengenai Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (JWG-DOC) dan Mesyuarat ke-24 Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN-CHINA mengenai Pelaksanaan Deklarasi (SOM-DOC), yang diadakan di sini bermula hari ini hingga 14 Ogos.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan mesyuarat itu bertujuan untuk memperkukuhkan lagi Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) yang ditandatangani pada 4 Nov 2002 oleh negara anggota ASEAN dan China.
“DOC mencerminkan komitmen bersama ASEAN dan China untuk bekerjasama memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, yang dijangka dapat menyumbang dengan lebih bermakna kepada keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.
"Di bawah kerangka DOC, pelbagai inisiatif kerjasama telah dilaksanakan bagi membina kepercayaan dan keyakinan serta untuk menggalakkan dialog yang konstruktif dalam menangani perbezaan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, ketika ini ASEAN dan China terlibat secara aktif dalam membangunkan COC melalui mekanisme sedia ada iaitu JWG-DOC dan SOM-DOC.
Sementara itu, menurut Wisma Putra sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China dari Ogos 2024 hingga Julai 2027, Malaysia juga berperanan sebagai Pengerusi Bersama dengan China dalam mengemudi perbincangan mengenai pelaksanaan DOC dan rundingan COC.
“Malaysia kekal komited dalam memastikan pelaksanaan secara berkesan DOC oleh semua pihak, sekali gus memastikan COC yang substantif dan berkesan dalam menangani secara konstruktif isu-isu penting di Laut China Selatan, serta menjaga kedaulatan, hak dan kepentingan negara,” menurut kenyataan itu.
Tahun ini, lima rundingan COC telah dan akan diadakan di beberapa bandar ASEAN dan China, iaitu di Jakarta pada Februari, Manila (April), Kuching (Ogos), Singapura (September) dan China (November). Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan pada 2019.
Menurut Wisma Putra penganjuran tahun ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menggalakkan dialog dan kerjasama serantau di bawah kerangka ASEAN-China, khususnya untuk keamanan, kestabilan, kepercayaan bersama serta penyelesaian secara aman pertikaian di Laut China Selatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial