AM

Malaysia Gesa Negara Pemilik Senjata Nuklear Tandatangani, Ratifikasi Protokol SEANWFZ - TPM Fadillah

11/08/2025 11:44 AM

JOHOR BAHRU, 11 Ogos (Bernama) -- Malaysia menggesa negara pemilik senjata nuklear supaya segera menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), dengan menyifatkannya sebagai tonggak penting kepada keamanan serantau, kepercayaan bersama dan keselamatan jangka panjang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata zon bebas senjata nuklear yang kukuh dan boleh dikuatkuasakan adalah penting bagi mengekalkan kestabilan serta melindungi masa depan rantau ini.

“Malaysia menegaskan komitmennya terhadap Perjanjian SEANWFZ. Kami menggesa negara pemilik senjata nuklear supaya menandatangani dan meratifikasi Protokol tersebut tanpa berlengah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) di sini hari ini.

Menyentuh mengenai tenaga nuklear, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan sedang melaksanakan penilaian berstruktur untuk meneliti peranan tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan berpotensi dalam penyediaan bekalan elektrik yang bersih, stabil dan berdaya saing dalam campuran tenaga negara pada masa depan.

Penilaian itu, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bertujuan mempelbagaikan sumber tenaga, mengukuhkan keselamatan tenaga jangka panjang, mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO), MyPOWER Corporation, telah diberi tanggungjawab untuk menyelaras usaha persediaan selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah mengumumkan bahawa Jabatan Tenaga Atom Malaysia akan melancarkan Sistem Pemantauan Air Spektrometri Gamma (GSWMS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, iaitu teknologi yang direka untuk meningkatkan keupayaan negara mengesan dan bertindak balas dengan pantas terhadap sebarang ancaman radiologi dalam sumber air.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan tenaga nuklear dan teknologi termaju perlu disokong oleh kerangka peraturan yang kukuh, protokol keselamatan yang ketat dan kerjasama antarabangsa yang telus.

“Kerjasama kita di bawah ASEANTOM bukan sekadar bersifat teknikal, malah sangat strategik. Ia mencerminkan tanggungjawab bersama kita untuk memastikan tenaga atom dimanfaatkan bagi pembangunan mampan, memperkukuh kestabilan serantau dan menjamin kesejahteraan generasi masa depan,” katanya.

Mesyuarat dua hari itu menghimpunkan pengawal selia daripada negara anggota ASEAN, IAEA dan rakan dialog untuk membincangkan isu keselamatan, sekuriti dan perlindungan nuklear di peringkat serantau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan