AM

12 Tukun Tiruan Kuboid Dilabuhkan Di Perairan Rompin - DOF

09/08/2025 04:00 PM

ROMPIN, 9 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melabuhkan 12 unit tukun tiruan kuboid penghalang pukat tunda di perairan Pulau Sembilang dan Pulau Seri Buat di sini hari ini.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata tukun tiruan itu berperanan sebagai benteng fizikal bagi menghalang pencerobohan pukat tunda haram di samping membentuk habitat baharu yang merangsang pertumbuhan stok perikanan dan meningkatkan biodiversiti marin.

“Tukun tiruan ini merupakan pelaburan jangka panjang untuk menjamin kelestarian sumber perikanan, memulihkan produktiviti perairan dan melindungi sumber rezeki komuniti nelayan. 

“Ia adalah kesinambungan usaha Jabatan Perikanan dalam memastikan sumber perikanan negara kekal mapan untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, DOF dalam kenyataan sama memaklumkan projek berkenaan melibatkan kos RM366,750 melalui peruntukan pembangunan Rolling Plan Kelima (RP5) 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Selain di Rompin, 12 unit tukun tiruan kuboid lagi akan dilabuhkan di Perairan Pulau Berhala, Pekan pada Okt ini. 

“Dari 2020 hingga 2025, Pahang telah menerima 53 unit tukun tiruan bernilai RM2.03 juta. Secara keseluruhannya sebanyak 244 unit tukun tiruan dilabuhkan di perairan negeri ini sejak 2007 meliputi lokasi seperti Rompin, Pekan, Kuantan, Pulau Tioman, Cherating, Cherok Paloh dan Nenasi,” menurut kenyataan itu.

DOF memaklumkan pelaksanaan projek tukun tiruan itu diharap dapat meningkatkan stok perikanan, memulihkan kawasan habitat marin yang terjejas serta memberi manfaat berterusan kepada komuniti nelayan setempat. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan