PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati wujud kesalahan melibatkan pelanggaran dasar dan prosedur dalam permohonan serta kelulusan pindah pangkalan, ubah suai dan penggantian enjin serta pindah milik lesen bagi sebuah vesel Zon B di Jabatan Perikanan (DOF) Pontian, Johor.
Dalam kenyataan hari ini, EAIC memaklumkan terdapat tindakan pemalsuan dokumen oleh pihak berkaitan dalam permohonan terbabit semasa siasatan dijalankan, manakala permohonan pindah pangkalan, ubah suai dan pindah milik vesel Zon B telah melanggar dan tidak mematuhi dasar serta pekeliling yang ditetapkan oleh DOF.
“Siasatan EAIC juga mendapati kelulusan yang diberikan turut melibatkan pegawai DOF Klang yang merupakan pangkalan asal bagi vesel tersebut,” menurut EAIC.
Justeru, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF dengan syor agar tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai-pegawai terbabit di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].
Menurut EAIC, syor itu dibuat berdasarkan beberapa kesalahan yang dikenal pasti iaitu kurang cekap, tidak jujur, tidak bertanggungjawab dan cuai dalam melaksanakan tugas, sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2) peraturan yang sama.
EAIC juga mengesyorkan agar pihak DOF mengambil tindakan lanjut dengan membuat laporan polis berikutan penemuan unsur jenayah iaitu pemalsuan maklumat dalam permohonan pindah pangkalan, ubah suai vesel, penggantian enjin dan pindah milik lesen bagi vesel Zon B.
“Pemalsuan ini turut melibatkan beberapa pegawai DOF yang disyaki bersubahat dalam menyokong permohonan tersebut walaupun menyedari maklumat yang dikemukakan adalah palsu,” menurut kenyataan itu.
Bagi aduan melibatkan DOF Tanjung Sedili, Johor yang didakwa telah memasang semula plat timah pada vesel nelayan Zon C, EAIC memaklumkan pegawai DOF telah mengarahkan pemasangan semula plat terbabit yang telah dibuka tanpa kebenaran DOF oleh pemilik vesel Zon C selepas kerja pembaikan dijalankan.
“Tindakan ini melanggar Pekeliling Pelesenan Bil. 10 Tahun 2018 (Pekeliling Penggantian Plat Timah), dan arahan pemasangan semula plat tersebut dikeluarkan oleh Pegawai DOF berkaitan tanpa mengetahui wujudnya Pekeliling Penggantian Plat Timah yang menetapkan proses permohonan dan kaedah penggantian plat timah yang telah dibuka, diubah, rosak atau diganggu.
Bagaimanapun, siasatan EAIC mendapati tindakan pegawai DOF Tanjung Sedili tidak dilakukan dengan niat jahat (mala fide) dan Bahagian Kejuruteraan Ibu Pejabat DOF mengesahkan bahawa vesel Zon C yang terlibat adalah vesel asal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial