TUMPAT, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperluaskan usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap teknologi nuklear di kawasan luar bandar termasuk kampung Orang Asli, bagi memastikan rakyat tidak tercicir dalam arus pembangunan teknologi negara.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohamad Yusof Apdal berkata pendekatan itu penting kerana masih ramai menganggap teknologi nuklear sebagai sesuatu yang menakutkan atau hanya berkaitan senjata.
“Kita mendapati tahap kesedaran masyarakat terhadap manfaat besar penggunaan teknologi nuklear secara meluas masih rendah. Apabila sebut tentang nuklear, mereka terus terbayang senjata, sedangkan potensi teknologi ini amat besar dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat luar bandar termasuk Orang Asli, sama ada sebagai sumber tenaga mahupun pemangkin pembangunan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Program Satelit Teknologi Nuklear Santuni Kasih Rakyat 2025 Kelantan di Jeti Kasih, Kampung Pasir Pekan Tengah di sini hari ini.
Mohamad Yusof berkata tema ‘Teknologi Nuklear Santuni Kasih Rakyat’ bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang membawa mesej jelas bahawa teknologi nuklear bukan lagi eksklusif untuk golongan tertentu, sebaliknya wajar disampaikan dan dimanfaatkan oleh seluruh rakyat.
“Program MADANI Rakyat 2025 membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan manfaat kemajuan sains, teknologi dan inovasi sampai kepada semua tanpa mengira lokasi, kaum atau latar belakang sosioekonomi.
“Agensi Nuklear Malaysia telah membangunkan pelbagai produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi nuklear yang selamat, berimpak tinggi serta memberi manfaat langsung kepada rakyat, termasuk dalam bidang perubatan, pertanian, industri dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata Agensi Nuklear Malaysia turut menjalin kerjasama erat dengan universiti dan pihak industri, termasuk hospital kerajaan dan swasta bagi memastikan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkualiti serta berimpak tinggi dapat diterjemahkan terus kepada aplikasi sebenar dan dimanfaatkan pengguna akhir.
“Secara tidak langsung, ia memastikan kepakaran teknologi nuklear terus menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat. Pemilihan Kelantan sebagai destinasi program satelit ini juga signifikan kerana negeri ini bukan sahaja kaya dengan warisan budaya dan tradisi, malah mempunyai potensi besar untuk mendepani era teknologi moden,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial