PASIR PUTEH, 8 Ogos (Bernama) -- Sistem Penentuan Lokasi Penangkapan Ikan (FSI) berasaskan teknologi satelit terbukti mampu meningkatkan hasil tangkapan nelayan antara 30 hingga 50 peratus berbanding kaedah konvensional.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ruziah Shafei berkata teknologi itu dibangunkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menggunakan data satelit untuk mengenal pasti lokasi tumpuan ikan dan maklumat itu terus disalurkan kepada nelayan berdaftar.
“Ini menjimatkan masa, mengurangkan penggunaan bahan api dan meningkatkan hasil tangkapan mereka,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Program Komuniti MADANI Nelayan Digital di Dewan Serbaguna Penempatan Semula Nelayan Tok Bali di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah MYSA Datuk Azlikamil Napiah berkata pelaksanaan FSI adalah hasil kerjasama MYSA dengan agensi dan jabatan berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).
“Setakat ini, kebanyakan nelayan terutama generasi muda semakin mahir mengaplikasikan teknologi itu dan pengembangan FSI kini turut merangkumi Zon A (pinggir pantai), berbanding fokus awal kepada zon laut dalam (Zon C).
“Nelayan yang menggunakan FSI menunjukkan perbezaan ketara dari segi hasil tangkapan, biarpun statistik terperinci diuruskan oleh agensi rakan seperti LKIM dan Jabatan Perikanan, kita dimaklumkan peningkatan hasil mencecah 50 peratus berbanding sebelum teknologi ini digunakan,” katanya.
Azlikamil berkata MYSA akan terus memajukan sistem FSI dengan inovasi terkini serta memperluas liputannya termasuk fungsi pemantauan pergerakan bot untuk keselamatan dan pengurusan sumber marin secara lestari.
Beliau berkata teknologi angkasa bukan hanya untuk sektor aeroangkasa atau pertahanan, malah ia terbukti membantu sektor perikanan dan ekonomi tempatan.
“Ini antara fokus utama MYSA dalam memperluaskan pemerkasaan teknologi angkasa kepada rakyat dan berharap lebih banyak komuniti nelayan dapat didaftarkan dan dilatih menggunakan sistem FSI agar data strategik kekal selamat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan mereka,” katanya.
Sementara itu, pengusaha bot Mohd Amir Hashim, 45, berkata penggunaan FSI memberi impak besar kepada pengusaha bot laut dalam apabila hasil tangkapan dan pendapatan meningkat sehingga 50 peratus berbanding sebelum ini.
“Saya sudah menggunakan sistem FSI sejak dua hingga tiga tahun lepas dan melihat berlaku peningkatan ketara dalam pendapatan.
“FSI memudahkan kami mengesan lokasi ikan kerana maklumat dihantar terus ke e-mel dan kami hanya perlu bergerak ke lokasi yang berpotensi,” katanya.
Nelayan pantai Zon A Zahari Samad, 64, pula menyifatkan sistem FSI yang diperkenalkan MYSA sebagai satu kemudahan penting yang boleh membantu meningkatkan hasil tangkapan dan merancang perjalanan ke laut dengan lebih baik.
“Walaupun saya baru nak guna sistem ini selepas musim tengkujuh nanti, saya percaya ia sangat berguna untuk nelayan Zon A kerana potensi hasil di kawasan ini sangat tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial