AM

KYF Terima RM1 Juta Laksana Program Berkembar Dengan UniKL, UPTM

31/07/2025 08:44 AM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara akan memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada Kolej Yayasan Felda (KYF) bagi menjalin kerjasama pintar dalam melaksanakan program berkembar dengan dua institusi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dua institusi berkenaan ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), dan cadangan kerjasama itu dikemukakan kepada KYF sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan sektor pendidikan TVET dalam negara.

"Jika ini dapat dipersetujui dalam waktu terdekat, saya ingin menawarkan kali ini kepada Pengerusi Felda (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) untuk menterjemah dan melaksanakan program pendidikan berkembar dengan kedua-dua universiti. 

“Bagi memantau program berkembar ini, saya ingin menawarkan sebanyak RM1 juta, wang yang diperuntukkan dari Majlis TVET Negara kepada KYF melalui Pengerusi FELDA,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Yayasan Felda Kali ke-26 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini. 

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata sejak penubuhan KYF, institusi itu telah melahirkan lebih 31,633 alumni yang bukan sekadar menyumbang kepada pelbagai sektor strategik negara, tetapi mengangkat nama FELDA sebagai satu daripada tunjang dalam ekosistem pembangunan kemahiran nasional.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu laluan khas diwujudkan bagi menggalakkan penglibatan semula alumni KYF sama ada sebagai tenaga pengajar, mentor industri, pembimbing keusahawanan atau penyumbang kepakaran bersama-sama dengan KKDW dan Majlis Amanah Rakyat, supaya perkongsian kepintaran ini dapat diterjemahkan dengan segera.

"Alumni KYF adalah aset FELDA yang amat berharga. Mereka bukan sekadar simbol kejayaan tetapi juga pemangkin masa depan yang mampu mengangkat KYF dan komuniti FELDA ke tahap lebih tinggi,” katanya. 

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyarankan agar KYF memperluaskan penawaran program TVET berimpak tinggi seperti teknologi makanan, kraftangan, pertanian pintar, ekonomi digital dan keusahawanan sosial desa.

“Ia adalah supaya ia sejajar dengan keperluan industri masa hadapan dan kekal relevan dalam ekosistem pembangunan desa yang inklusif dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan