KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang dirangka bagi mengimbangi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi antara wilayah termasuk Sabah dan Sarawak, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Amir Hamzah, yang juga menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi, berkata RMK13 bukan sekadar meneruskan projek pembangunan sedia ada malah memperkenalkan inisiatif baharu bagi merancakkan pembangunan wilayah secara menyeluruh.
“Dalam RMK13 kita mementingkan pembangunan itu kita seimbangkan bukan sahaja daripada segmen yang kita ada sekarang, tapi kita nak mengurangkan jurang antara bandar dengan luar bandar. Kita nak mengurangkan jurang wilayah dengan wilayah,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘RMK13: Melakar Semula Pembangunan’, semalam.
Beliau berkata beberapa industri baharu akan dibangunkan di bawah RMK13 termasuk projek berkaitan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta industri hidrogen di negeri seperti Terengganu dan Sarawak.
“… contoh projek industri baharu CCUS yang kita akan ada hab ialah di Pantai Timur (iaitu) di Terengganu dan juga di Sarawak. Hidrogen akan menjadi satu industri baharu yang kita nak adakan di Terengganu dan Sarawak. Kedua-dua kawasan ini akan mendapat pembangunan tersebut,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Sabah berpotensi menjadi hab utama bagi ekonomi biru melalui sektor pelancongan dan penggunaan sumber maritim.
“Kalau kita tengok dari segi ekonomi biru ia menggunakan pelancongan dan perairan, Sabah akan menjadi satu hab baharu untuk ekonomi biru. Ini pun kita masukan dalam rancangan RMK13,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membentangkan RMK13 yang berteraskan kepada tiga asas utama iaitu pembentukan negara dan bangsa yang berdaulat dan bermaruah, sistem sosial berteraskan insan MADANI serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, Amir Hamzah berkata konsep mobiliti sosial turut diberi penekanan dalam RMK13 bagi memastikan rakyat benar-benar menikmati manfaat daripada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.
“… kerana kalau kita buat pertumbuhan, kita rancakkan ekonomi tapi rakyat tak dapat rasa, itu bukan satu pelan yang kita rasa seimbang. Kita semua bekerja untuk meningkatkan martabat dan darjat rakyat… (supaya mereka) dapat merasakan pembangunan seiring dengan pembangunan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata RMK13 turut memberi tumpuan kepada peningkatan peluang pekerjaan dan reformasi tenaga kerja termasuk pelaksanaan gaji minimum yang lebih progresif berdasarkan tahap kemahiran pekerja, selain menggalakkan industri menstruktur semula sistem penggajian.
“Reformasi tenaga kerja adalah perkara penting yang kita masukan dalam RMK13...kita bukan hanya ada satu tahap penggajian (atau) gaji minimum, tapi kita nak gaji minimum itu berganjak kepada tahap mengikut tahap kemahiran yang ada dan kita merancang dan meminta industri mengikut cara macam ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial