KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Hari terakhir Karnival HAWANA 2025 di Sunway Putra Mall di sini hari ini berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran pengunjung yang ingin mengenali dunia kewartawanan secara lebih dekat.
Seorang pengunjung Nurimshah Muhammad Yaseen, 20, berkata minat terhadap kerjaya pengamal media khususnya penyampai berita mendorongnya hadir ke karnival yang berlangsung selama tiga hari itu.
“Selama ini saya hanya melihat wartawan bersiaran di kaca televisyen tetapi kali ini saya sendiri dapat merasai pengalaman melaporkan insiden kemalangan bas melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di reruai Bernama Radio dan Media Prima.
“Saya juga berpeluang mencuba sesi uji bakat lakonan di reruai RTM. Ini pengalaman yang amat bermakna buat saya,” katanya kepada Bernama.
Nurimshah yang baru menamatkan pengajian diploma dalam bidang perisian menyifatkan program seumpama itu dapat mendekatkan masyarakat dengan dunia kewartawanan yang sebenar dan wajar diadakan setiap tahun.
Seorang lagi pengunjung Ismail Mohd Azlan, 49, berkata karnival berkenaan merupakan peluang terbaik kepada orang awam untuk mengenali dengan lebih mendalam peranan media di Malaysia.
“Biasanya kita hanya lihat persembahan artis di pusat beli-belah tetapi kali ini, kita lihat studio mini berita dan radio pula dibawa ke sini. Ia memberi pendedahan dan sekali gus menarik minat orang ramai terhadap dunia kewartawanan.
“Karnival sebegini bagus untuk mendekatkan masyarakat dengan wartawan. Pengunjung juga boleh bertanya terus tentang cara menyalurkan aduan kepada wartawan mengenai isu dan masalah setempat,” katanya.
Ismail yang bekerja sebagai juruteknik berkata kunjungan ke reruai Media Selangor turut membuka matanya mengenai kewujudan akhbar di bawah Kerajaan Selangor.
Beliau mencadangkan agar penganjuran karnival seumpama itu diteruskan agar orang ramai dapat memperoleh maklumat terus daripada agensi media tentang produk dan perkhidmatan ditawarkan.
Karnival HAWANA 2025 berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas, merupakan sebahagian daripada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dengan majlis kemuncak dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.
Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, HAWANA dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial