KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan bahan kandungan media mampu menarik minat golongan muda terhadap kandungan dihasilkan media arus perdana.
Langkah itu signifikan untuk memastikan industri media kekal relevan dalam era digital selain menjadikan media arus perdana sebagai platform yang mampu menyampaikan maklumat dengan lebih kreatif, menarik, tepat dan berimpak tinggi.
Justeru, peruntukan RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada organisasi media di negara ini bagi tujuan berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada media untuk menggunakan kaedah terbaik dalam menyampaikan maklumat kepada golongan muda.
Naib Presiden Kumpulan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Farrah Naz Abd Karim berkata peruntukan itu menjadi pemangkin kepada organisasi media untuk menggunakan pendekatan kreatif dalam menyampaikan isu-isu penting khasnya, sekali gus menjadikannya lebih mudah dicerna oleh golongan muda.
“Ini juga membuktikan Kerajaan MADANI memberi perhatian kepada industri ini dengan sama-sama memikirkan cara dan hala tuju untuk meningkatkan mutu output pemain-pemain industri kewartawanan negara,” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan atas peruntukan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian Zamri Rambli ketika dihubungi berkata pemberian peruntukan berkenaan adalah satu langkah penting dalam memperkukuh industri media negara.
Beliau berkata transformasi digital kini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan dalam memastikan kewartawanan kekal relevan dan mampan.
“Sokongan kerajaan terhadap organisasi media akan membantu kami menyesuaikan diri dengan cabaran teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan perubahan dalam tabiat pembaca.
“Kami berharap dana ini dapat dimanfaatkan secara efektif, bukan sahaja untuk meningkatkan infrastruktur digital tetapi juga memperkasakan wartawan dalam menyampaikan berita dengan lebih pantas, tepat dan berintegriti,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu lepas mengumumkan peruntukan RM30 juta kepada organisasi media di negara ini melaksanakan transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan bahan kandungan.
Sambutan HAWANA 2025, yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana bertujuan mengiktiraf peranan serta sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial