Oleh Nurrul Huda Ahmad Lufti
KANGAR, 11 Jun (Bernama) -- Organisasi media di Malaysia perlu merangka polisi editorial khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan penggunaan teknologi itu dalam pemberitaan terkawal dan tidak menjejaskan kredibiliti pelaporan wartawan dalam jangka panjang.
Pensyarah Program Komunikasi Media Baharu Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Husna Afifi Mohd Yusoff berkata garis panduan yang jelas mengenai penggunaan AI harus ditetapkan oleh setiap organisasi media bagi mengelakkan penyalahgunaan atau pengaplikasian tanpa kawalan.
"Dengan kepesatan teknologi terkini seperti AI terdapat kebimbangan yang wajar bahawa kredibiliti pelaporan berita oleh wartawan boleh terjejas dalam jangka panjang jika tiada pendekatan efektif diambil untuk mengawal penggunaannya.
“Saya sangat menyedari dan sering memberi perhatian kepada kemunculan berita palsu yang berpunca daripada penggunaan teknologi AI,” katanya kepada Bernama.
Husna Afifi berkata deepfake (palsu asli) adalah contoh paling jelas bagaimana AI boleh dimanipulasi untuk mencipta video atau audio palsu yang kelihatan sangat autentik, seolah-olah individu tertentu mengatakan atau melakukan sesuatu yang tidak pernah berlaku
“(Selain itu) bot berita yang menggunakan AI untuk menghasilkan artikel dalam masa singkat tanpa pengesahan atau pemeriksaan fakta yang mencukupi telah menimbulkan masalah besar dalam dunia media. Ini lebih ketara dalam berita sensasi atau viral yang beredar di media sosial.
“Teknologi AI boleh digunakan untuk menghasilkan berita automatik yang kadang-kadang berat sebelah atau tidak tepat. Oleh kerana AI sering tidak dapat membezakan konteks atau emosi manusia, ia menghasilkan berita yang mungkin betul dari segi fakta tetapi kurang memahami konteks,” katanya.
Beliau berkata penyebaran berita palsu melalui teknologi AI bukan sekadar memberi kesan kepada masyarakat, malah turut menjadi cabaran besar buat para wartawan, pengamal media serta institusi pendidikan yang terlibat dalam literasi media.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan mengawal penggunaan AI dalam pemberitaan untuk memastikan ketelusan maklumat, memelihara kepercayaan awam serta menjaga integriti dunia kewartawanan.
Husna Afifi berkata antara langkah strategik yang boleh dilaksanakan kerajaan adalah penggubalan dasar dan undang-undang khusus AI dalam media, iaitu perlu ada peruntukan jelas mengenai liabiliti dan penalti kepada organisasi atau individu yang melanggar undang-undang selain menubuhkan badan pengawalseliaan bebas berkaitan AI dan media.
“(Pendekatan lain) piawaian etika AI dalam pemberitaan mewujudkan garis panduan rasmi atau kod etika nasional berkaitan penggunaan AI dalam media. Piawaian ini boleh merangkumi aspek seperti ketelusan algoritma, tanggungjawab editor dan keterlibatan manusia dalam proses editorial,” katanya.
Husna Afifi berkata teknologi AI jika digunakan dengan beretika dan penuh strategik boleh menjadi alat untuk meningkatkan mutu kewartawanan seperti mempercepat penyelidikan, menganalisis data raya dan membantu dalam pengesanan maklumat palsu.
Beliau berkata wartawan perlu menguasai pengetahuan berkaitan AI dan teknologi digital supaya mereka lebih berkemahiran dalam menapis dan mengenal pasti maklumat palsu dengan lebih efisien.
“Dalam era maklumat yang semakin berkembang dan dipengaruhi oleh teknologi, wartawan bukan sahaja harus menjadi penyampai maklumat tetapi juga perlu menjadi penapis maklumat yang bijak,” katanya.
Bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang disambut setiap 29 Mei, Husna Afifi berkata dalam dunia media baharu yang sangat dinamik dan dipacu oleh teknologi, wartawan kini berdepan pelbagai cabaran besar yang mempengaruhi cara bekerja dan berinteraksi dengan pembaca, namun perlu terus mempertahankan integriti kewartawanan.
Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, kemuncak sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung pada 14 Jun nanti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan kemuncak sambutan itu dengan kehadiran dianggarkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana bertujuan untuk meraikan peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial