AM

Siasatan Insiden Putra Heights Dilakukan Dengan Bebas Dan Telus - MB Selangor

03/07/2025 01:43 PM

CYBERJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Siasatan berhubung kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas dilakukan dengan penuh bebas serta telus tanpa campur tangan Kerajaan Negeri Selangor, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Selangor tidak terlibat secara langsung, sebaliknya hanya bertindak sebagai satu daripada 212 saksi dalam siasatan insiden berkenaan.

Amirudin berkata fokus ketika ini adalah supaya Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan meneliti laporan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights dan mencadangkan langkah tertentu kepada kerajaan negeri.

“Realitinya, (siasatan) dilakukan dengan penuh bebas tanpa ada campur tangan kerajaan negeri. Jadi, (jika) ada satu pihak yang mempertikaikan, tidak semestinya kita anggap itu sebagai laporan yang tidak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang, Selangor 2035 (Penggantian) di sini hari ini.

Amirudin berkata laporan penuh siasatan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights itu akan dibuka untuk semakan umum selepas mendapat kebenaran pihak bertanggungjawab. 

“Siasatan itu akan saya awamkan nanti selepas mendapat kebenaran dan mereka (mana-mana pihak) boleh semak dan kenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan (dalam laporan), di situ ada gambaran pihak yang bertanggungjawab ataupun penjelasan. 

“Kita tidak bolehlah anggap semua benda ini (kononnya) ada orang yang mengganggunya. Persepsi (sebegitu) tidak boleh kerana perlu dibuktikan secara tepat dan dibuktikan secara saintifik,” katanya.

Beliau berkata pihaknya memberikan ruang sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan termasuk memanggil saksi seperti pemaju, pengawal keselamatan dan pengendali jengkaut.

“(Ketika ini) siasatan pihak polis tidak mendapati sebarang kecuaian dan tindakan-tindakan khianat,” katanya.

Amirudin sebelum ini berkata Selangor akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi meneliti laporan berhubung kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April, dan merangka langkah jangka panjang, di samping mencadangkan peraturan-peraturan baharu dan langkah pencegahan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.

Semalam, Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) tidak berpuas hati dengan klasifikasi Tiada Tindakan Lanjut (NFA) bagi insiden letupan paip gas di Putra Heights dan mendesak siasatan disemak semula.

Polis mengklasifikasikan insiden letupan saluran gas di Putra Heights sebagai NFA susulan hasil siasatan jenayah yang tidak menemukan sebarang unsur kecuaian atau khianat.

Insiden kebakaran itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan