AM

Aliran Trafik Lancar Di Lebuh Raya Utama Pagi Ini - LLM

06/06/2025 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Aliran trafik di lebuh raya utama di seluruh negara dilaporkan lancar pagi ini menjelang sambutan Aidiladha, esok.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan aliran trafik ke Pantai Timur dan menghala ke selatan dari ibu kota masih lancar setakat 10 pagi tadi, namun dijangka sesak menjelang tengah hari ini.

Bagaimanapun, katanya kesesakan berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara dari arah Bidor ke Tapah susulan pertambahan kenderaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata aliran trafik di dua pintu masuk di sempadan Pasir Puteh, Kelantan-Terengganu dalam keadaan lancar setakat 9 pagi tadi.

Di Gua Musang, aliran trafik bergerak perlahan sepanjang kira-kira lima kilometer di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di Kampung Mentara setakat 10 pagi tadi berikutan pertambahan bilangan kenderaan. 

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kesesakan berlaku disebabkan lencongan yang terdapat di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, keadaan masih terkawal dan tiada penyuraian trafik dilakukan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan