AM

Perak Lancar Pelan Tindakan Ekonomi Digital 2030 Dan Blueprint Bandar Pintar 2040

04/06/2025 06:28 PM

IPOH, 4 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri melancarkan dua dokumen penting melibatkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar 2040 hari ini. 

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ia disusun berlandaskan aspirasi Perak Sejahtera  2030 dengan matlamat untuk menjadikan negeri ini lebih cekap, lestari dan sejahtera melalui pemerkasaan teknologi digital serta  perancangan bandar berasaskan data serta berinovasi. 

"Pelan Tindakan Ekonomi Digital Perak 2030 memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu akses kepada infrastruktur digital berkualiti, pentadbiran awam cekap digital, ekosistem perniagaan rancak dipacu pendigitalan dan masyarakat diperkasa pendigitalan. 

"Terdapat 21 program telah dikenal pasti dengan lima projek pemangkin diberikan keutamaan iaitu peluasan capaian digital melalui inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pembangunan Point of Presence (POP) dan penggunaan satelit orbit rendah (LEO) bagi kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap merasmikan dokumen itu di sebuah hotel di sini.

Beliau berkata dua lagi projek pemangkin ialah pengukuhan sistem pembayaran tanpa tunai untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penubuhan pusat kecemerlangan seperti Pusat Inovasi dan Penyelidikan Pintar Perak (SPRIN) dan Akademi AI.

Saarani berkata bagi Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 pula menggariskan tujuh komponen utama, 22 dasar, 52 strategi dan 132 inisiatif secara berfasa hingga 2040 dalam mencapai sasaran pembangunan bandar pintar di negeri ini.

"Pelaksanaan pelan induk ini akan memacu pembangunan bandar yang  lebih inklusif, responsif dan mampan dengan berteraskan pendekatan People-Centric Smart City, iaitu pembangunan bandar yang berpaksikan keperluan dan kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada empat pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) yang menjadi 'Early Adopter' bagi  pelaksanaan awal agenda bandar pintar di Perak," katanya. 

Beliau berkata kerajaan negeri turut menubuhkan Majlis Ekonomi Digital Negeri Perak (MEDi) dan Jawatankuasa Pemandu Bandar Pintar Negeri Perak bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua pelan ini bergerak secara terancang dan berimpak tinggi.

"MEDi terdiri daripada empat teras strategik iaitu infrastruktur, ekonomi, pendigitalan awam dan juga masyarakat dengan setiap teras itu mempunyai anggotanya yang akan dipengerusikan oleh Exco yang berkenaan. 

"Begitu juga Jawatankuasa Pemandu Bandar Pintar Negeri Perak yang akan menggunakan konsep sama kerana ia saling berhubung antara satu sama lain," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan