AM

Jemaah Wanita Disaran Elak Niat Bersyarat, Boleh Jejas Kesempurnaan Ibadah Haji

01/06/2025 11:13 AM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 1 Jun (Bernama) -- Jemaah haji wanita yang dalam keadaan haid tidak perlu berniat ihram secara bersyarat ketika memulakan ibadah haji sebaliknya cukup melafazkan niat haji seperti biasa bagi memastikan ibadah mereka sah di sisi syarak.

Timbalan Mufti Perlis merangkap Ketua Pakar Rujuk Haji Tajul Urus Abdul Halim berkata niat bersyarat tidak digalakkan kerana dikhuatiri menjejaskan kesempurnaan ibadah haji.

"Jemaah wanita dinasihatkan untuk tidak niat bersyarat kerana masa yang panjang bagi jemaah wanita  berada di Tanah Suci ini, maka lebih baik tidak melafazkannya.

"Sekiranya jemaah wanita melafazkan niat bersyarat haji, ia dikhuatiri akan terjejas, terlepas atau terlucut haji disebabkan lafaz niat bersyarat yang dilakukan," katanya ketika ditemui media di sini.

Tajul Urus berkata niat merupakan satu daripada rukun utama haji dan perlu dilakukan ketika jemaah wanita keluar dari tempat penginapan atau ketika berada di miqat tanpa mengira keadaan fizikal sama ada dalam keadaan haid atau sebaliknya.

“Sekiranya seorang wanita tidak berniat haji maka ibadah haji tidak dapat dilaksanakan. Oleh itu, dia wajib berniat terlebih dahulu walaupun dalam keadaan haid kerana haid tidak menjejaskan sah niat haji,” katanya.

Tajul Urus berkata wanita yang dalam keadaan haid boleh melaksanakan semua rukun dan wajib haji seperti wukuf di Arafah, bermalam (mabit) di Muzdalifah dan Mina, serta melontar jamrah, kecuali tawaf yang perlu ditangguhkan hingga kembali suci.

Sementara itu, Tajul Urus menjelaskan bahawa jemaah haji yang menunaikan ibadah haji dan turut melaksanakan ibadah korban tidak terikat dengan adab bagi individu yang melaksanakan ibadah korban.

“Mereka tidak terikat dengan adab seperti mereka yang melaksanakan korban termasuk memotong kuku, mencabut bulu dan sebagainya kerana adab itu hanya sunat bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban dan tidak melaksanakan ibadah haji," katanya.

Beliau turut menyeru jemaah haji untuk melakukan persiapan rapi sebelum memulakan ibadah, termasuk memotong kuku dan persiapan diri yang sewajarnya bagi memastikan keselesaan sepanjang melaksanakan ibadah haji.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan