AM

Kempen Kebersihan Masya'ir Diteruskan, Malaysia Raih Pujian Arab Saudi

02/06/2025 06:22 PM

Daripada Nurliyana Farah Ruslan

MAKKAH, 2 Jun (Bernama) -- Kempen Kebersihan Masya’ir yang dilaksanakan sejak 2017 dalam kalangan jemaah haji Malaysia diteruskan lagi pada musim haji tahun ini, sebagai inisiatif mendidik jemaah menjaga kebersihan persekitaran di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata rekod cemerlang jemaah Malaysia menjaga kebersihan sejak beberapa tahun lepas turut mendapat pengiktirafan berterusan daripada Kerajaan Arab Saudi, khususnya Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Malah, dalam satu ucapan, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah secara berseloroh menyatakan jika semua jemaah di dunia bersikap seperti jemaah Malaysia, beliau boleh tidur dengan tenang,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra bersama Jemaah Haji di Bangunan Penginapan Abraj Al Tayseer dan Perasmian Program Kebersihan Masyair 1446H/2025M di sini hari ini.

Beliau berkata kenyataan Tawfiq Fawzan itu menggambarkan kepercayaan dan penghargaan pihak Arab Saudi terhadap usaha berterusan Tabung Haji (TH) bersama jemaah Malaysia dalam menjaga kebersihan sepanjang ibadah haji.

“Kempen (kebersihan) ini bukan sekadar kempen kesedaran tetapi menjadi model yang boleh dicontohi oleh negara lain. TH harap pada tahun ini, jemaah Malaysia terus mengekalkan rekod cemerlang ini dan sekali lagi menunjukkan contoh terbaik kepada jemaah antarabangsa,” katanya.

Mohd Na'im berkata kempen tahun ini turut diperluaskan ke semua tujuh Bangunan Penginapan Jemaah Haji Malaysia di Tanah Suci, termasuk bangunan penginapan baharu jemaah di Abraj Al Tayseer.

“Ini adalah cerminan disiplin, sikap dan budaya jemaah haji Malaysia yang kita banggakan. Kita mahu agar jemaah tahun 2025 mengekalkan rekod cemerlang yang dicapai sebelum ini. Apabila jemaah kita meninggalkan Masya’ir, kawasan itu berada dalam keadaan bersih dan menjadi contoh kepada jemaah dari negara lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan