KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media yang memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat.
Menerusi rakaman video di Facebook sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini, Fadhlina mengucapkan terima kasih kepada semua pengamal media yang telah mengamalkan integriti yang tinggi dan menjadi suara kepada rakyat khususnya membawa berita yang telus dan sahih.
“Pada hari yang istimewa ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional 2025 kepada semua pengamal media yang sentiasa komited dan bekerja keras tanpa mengenal penat lelah untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
“Terima kasih seluhurnya atas perjuangan mengangkat suara rakyat dengan penuh ketelusan dan integriti,” katanya.
Sementara itu, Universiti Malaysia Perlis (UNiMAP) menerusi catatan di Facebook menyatakan penghargaan kepada semua pejuang tinta yang tidak pernah lelah dalam menyampaikan kebenaran.
"UniMAP amat menghargai peranan penting wartawan dalam merakam pencapaian, menyuarakan aspirasi warga kampus dan menjadikan ilmu serta inovasi lebih dekat dengan masyarakat. Terima kasih kerana terus menjadi jambatan antara dunia akademik dan komuniti,” menurut catatan itu.
HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun dan untuk 2025, Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan berkenaan dengan kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.
HAWANA, yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran kali pertama pada 2018, merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial