AM

Pemimpin Negeri Zahir Ucapan Selamat Hari Wartawan Nasional

29/05/2025 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Beberapa pemimpin kerajaan negeri hari ini mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dan menyifatkan tanggungjawab digalas pengamal media kini semakin mencabar, namun tetap menjadikan integriti sebagai pegangan.

Di NEGERI SEMBILAN, Exco Kanan kerajaan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias merakamkan penghargaan kepada pengamal media, yang bekerja tanpa henti menyampaikan maklumat dengan tepat selain menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan.

Beliau berkata dalam dunia penuh cabaran dan berita palsu, wartawan memainkan peranan penting sebagai benteng integriti dan tanpa fakta tepat, masyarakat mungkin terus dihanyutkan oleh fitnah, berita palsu dan informasi tidak benar.

“Kerja wartawan bukan mudah. Berkejar ke lokasi kejadian, berhadapan dengan risiko keselamatan dan menanggung amanah untuk menyampaikan informasi tepat dan seimbang, semua menuntut ketabahan, keberanian dan prinsip kerja kukuh. Selamat Hari Wartawan kepada seluruh pengamal media,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua petugas media tidak mengira lapangan penulisan.

“Kepada wartawan yang menjadi jambatan sama ada pemimpin atau pun pembuat dasar kepada rakyat, saya mengucapkan terima kasih kerana karya-karya anda akan terus menjadi cerminan gambaran inspirasi dan ilham para pemimpin kepada rakyatnya.

“Jadi berkaryalah dengan lebih baik dan didoakan wartawan yang ada di Melaka ini menjadi wartawan berintergriti. Teruskan menulis,” katanya.

Di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan Mohd Azlan Helmi berkata penganjuran HAWANA 2025 untuk kali kelima itu, dilihat lebih berprestij dengan penyertaan media dari rantau Asia Tenggara sempena Sidang Kemuncak ASEAN.

Beliau berkata peluang seumpama itu tidak seharusnya dilepaskan oleh media Malaysia untuk membina atau meluaskan jaringan hubungan khususnya dalam rantau ini.

“Peluang seumpama ini tidak datang selalu dan saya fikir perkongsian idea dan pertukaran maklumat itu antara inti pati penting, yang perlu diberi penekanan khususnya oleh media Malaysia.

“Secara tidak langsung, input diperoleh itu memberi nilai tambah serta impak berkesan kepada penganjuran HAWANA pada tahun ini,” katanya.

Di PERLIS, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua wartawan khususnya di Perlis, atas peranan penting dimainkan dalam membina masyarakat berilmu, berintegriti dan peka terhadap isu semasa.

“Selamat Hari Wartawan Nasional 2025. Teruskan usaha murni dengan penuh etika, profesionalisme dan keberanian demi kebenaran," katanya.

Di TERENGGANU Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata warga media bukan sekadar menyampaikan berita sehingga menjadi sejarah, tetapi mereka berperanan menyambung suara rakyat kepada dunia.

Beliau berkata dalam hujan, panas dan gelap malam, warga media sentiasa berusaha mencari fakta demi menyampaikan kebenaran.

“Terima kasih kerana terus menulis dengan jujur, berani dan penuh integriti. Selamat Hari Wartawan Nasional buat pengamal media semua,” katanya.

Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, akan menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei ini dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun, serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

Sementara ituMenteri Besar PAHANG Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebook menasihatkan agar pengamal media terus berpegang kepada etika kewartawanan terutama dalam menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat di negara ini. 

“Terima kasih kerana sentiasa telus dan tulus dalam menyampaikan informasi yang sahih dan tepat kepada rakyat,” katanya.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin pula berkata wartawan di negeri itu bukan sahaja melaporkan berita malah berperanan sebagai tulang belakang dalam membina kefahaman, menyebarkan fakta sahih serta memastikan suara rakyat sampai kepada pihak yang berkenaan.

"Hubungan erat antara media dan kepimpinan negeri Johor amat dihargai... dengan kerjasama strategik, ia membantu menyebar luas dasar dan inisiatif pembangunan negeri serta memperkukuh penyampaian maklumat kepada semua lapisan masyarakat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga berharap HAWANA 2025 menjadi pemangkin kepada pengamal media ke arah memperkasakan kewartawanan yang beretika, bebas dan bertanggungjawab.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan