AM

“Kami Saling Memilih” Ikatan Luar Biasa Ubah Nasib Gajah Borneo

25/05/2025 11:53 AM

KOTA KINABALU, 25 Mei (Bernama) -- Bagai sudah ditakdirkan, jurnal kehidupan Dr Nurzhafarina Othman sepanjang lebih dua dekad berada di bumi Sabah sebahagiannya diisi dengan keunikan serta keindahan habitat semula jadi gajah Borneo, terutamanya di hutan rimba tropika di Hilir Kinabatangan.

Nurzhafarina, 41, sendiri tidak menyangka langkah melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Konservasi Biologi) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2003 telah membawa beliau ke satu dimensi baharu untuk memahami secara holistik mengenai populasi serta sistem ekologi mamalia darat terbesar itu.

Anak jati Kedah yang banyak menghabiskan masa mengkaji setiap inci kitaran hidup gajah Borneo termasuk struktur sosial dan perilaku haiwan liar itu, kini mencurah bakti di “Negeri Bawah Bayu” sebagai pakar pemuliharaan gajah yang juga Pensyarah Kanan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS.

Lebih menginspirasikan, komitmen dan dedikasi Nurzhafarina, yang juga Pengasas dan Pengarah Seratu Aatai sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, dalam usaha pemuliharaan spesies gajah Borneo mendapat pengiktirafan dunia apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Whitley 2025, pada April lepas.

Bercakap kepada Bernama, Nurzhafarina berkata ada ikatan unik dan luar biasa lahir secara semula jadi antara beliau dengan gajah Borneo, terutamanya semasa berada di lapangan meneroka dunia haiwan yang memiliki sifat sensitif, penyayang serta bijak itu.

“Saya rasa kami memilih antara satu sama lain. Awalnya (kajian mengenai gajah Borneo) hanya untuk menghabiskan pelajaran tetapi apabila saya bersama gajah ini, haiwan itu bagaikan memberitahu supaya saya kena kekal di sini.

“Peluang sentiasa ada untuk mengkaji dan lebih memahami gajah. Seolah-olah saya sudah ditakdirkan untuk (memulihara) gajah,” kata saintis muda itu dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Bercerita lanjut pengalamannya, Nurzhafarina mengakui tidak pernah berdepan situasi diserang gajah Borneo, sebaliknya kehadiran beliau ke kawasan habitat sentiasa disenangi oleh ‘sahabatnya’ itu.

Haiwan yang kuat dan berdaya tahan itu juga seakan-akan memahami keberadaan Nurzhafarina adalah untuk membantu memelihara serta memulihara spesies mereka.

“Gajah ini bagi ruang saya meluangkan masa sampai saya boleh kenal 50 gajah betina dan saya boleh beri nama setiap satu. Empat tahun saya ikut haiwan  ini. Maksudnya, saya rasa diterima dan pada masa sama saya pun cuba belajar.

“Manusia banyak salah faham mengenai gajah. Haiwan ini tidak akan menyerang. Kita selalu pakai perkataan menyerang atau gajah menceroboh (kawasan), perkataan itu saya rasa tidak sesuai kerana gajah dulu sampai (berada) di situ, bukan kita,” katanya.

Justeru, beliau mahu komuniti setempat yang berkongsi landskap dengan gajah Borneo supaya sentiasa bertoleransi bagi membolehkan kedua-duanya hidup harmoni seterusnya memperkasa kewujudan bersama ke arah mengatasi konflik haiwan dan manusia.

Mengenai Seratu Aatai yang ditubuhkan pada 2018, beliau berkata pertubuhan itu turut menjalankan aktiviti meningkatkan kefahaman dan toleransi agar komuniti boleh hidup dalam suasana baik termasuk bersama hidupan liar lain.

Seratu Aatai, yang bermaksud bersatu hati dalam bahasa “Sungai”, adalah satu-satunya organisasi pemuliharaan di Sabah yang memberi fokus sepenuhnya untuk melindungi gajah Borneo.

Selain gajah Borneo atau Elephas maximus borneensis, Hilir Kinabatangan yang terletak lebih 300 kilometer dari Kota Kinabalu turut terkenal dengan spesies flora fauna lain seperti orang utan, beruang matahari dan monyet proboscis yang menjadi antara khazanah berharga untuk Sabah.

Nurzhafarina berkata pertama kali melihat realiti kehidupan gajah Borneo memberi perspektif lebih jelas tentang kepayahan haiwan itu bergerak bebas dalam habitat mereka sendiri memandangkan kawasan hutan sekarang dikelilingi oleh aktiviti manusia.

Keadaan itu membuatkan beliau terpanggil untuk menjadi medium menyampaikan ‘suara’ gajah Borneo supaya haiwan itu akan dapat terus memainkan peranan dalam ekosistem hutan dan kelestarian alam sekitar.

Mengenai Anugerah Whitley 2025, Nurzhafarina sukar menggambarkan perasaannya apabila terpilih menerima pengiktirafan berprestij oleh Whitley Fund for Nature (WFN) yang berpangkalan di United Kingdom itu kerana menurutnya, sangat kompetitif untuk mendapatkan Green Oscar berkenaan.

Beliau menerima anugerah bernilai £50,000 (kira-kira RM287,000) daripada Penaung WFN Puteri Anne di Royal Geographical Society, London pada 30 April lepas.

Anugerah itu diberikan bagi menyokong usaha Nurzhafarina melindungi kira-kira 300 ekor gajah Borneo yang masih wujud di pantai timur Sabah, selain mengiktiraf pendekatan inovatif beliau melibatkan pihak berkepentingan dalam industri sawit di kawasan Hilir Kinabatangan bagi melaksanakan amalan mesra gajah dan mewujudkan rangkaian koridor perlindungan bagi spesies gajah terkecil di dunia.

“Anugerah ini datang dengan tanggungjawab besar. Saya suka platform Whitley kerana membuka lebih banyak peluang untuk saya bercerita tentang isu (gajah Borneo). Ia juga memberi keyakinan kepada semua yang terlibat di lapangan bahawa sebenarnya kita berada di landasan betul,” katanya.

Bukan soal kerjaya semata-mata, Nurzhafarina berkata inisiatifnya itu adalah manifestasi rasa syukur atas nikmat ilmu dan kemahiran dimiliki untuk melindungi gajah Borneo, yang diklasifikasikan sebagai “terancam” dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan.

Meskipun tidak mampu membawa semua pihak duduk semeja dalam usaha konservasi gajah Borneo, Nurzhafarina berharap komuniti setempat dapat bersama beliau memperjuangkan misi itu.

Tambah beliau usaha perlu dilakukan untuk mengekalkan Kinabatangan sebagai simbol keharmonian serta simbiosis manusia dan hidupan liar.

“Saya nampak Kinabatangan sebagai satu tempat yang sangat istimewa. Walaupun berdepan banyak cabaran untuk mengekalkan habitat hidupan liar, daerah ini tetap berdaya tahan dan kuat.

“Sabah dan Borneo dikenali kerana kekayaan alam semula jadi iaitu hidupan liar dan hutan, yang sepatutnya diutamakan kerana tiada lagi di kawasan lain. Ini yang menyebabkan orang tertarik datang ke sini. Jadi, kita perlu mengimbangi antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan