POLITIK

PRN Sabah Masa Terbaik Satukan Saf Perjuangan PKR

25/05/2025 04:41 PM

KOTA KINABALU, 25 Mei (Bernama) -- Tumpuan penuh kini perlu diarahkan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selepas pemilihan pimpinan pusat PKR berakhir pada Jumaat lepas.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi adalah masa terbaik untuk menyatukan semula saf perjuangan PKR, usai pemilihan barisan kepimpinan baharu parti bagi sesi 2025-2028 yang pastinya meninggalkan pelbagai emosi dan cabaran kepada para calon, perwakilan dan ahli.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata PRN Sabah juga akan menjadi ujian sebenar kepada kekuatan organisasi, kematangan politik dan kesatuan parti itu sebagai satu pasukan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi turut menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak menilai siapa yang memegang jawatan tetapi siapa yang benar-benar boleh menyentuh keperluan hidup mereka.

“Setiap anggota parti tidak boleh lagi terperangkap dalam garis pemisah pascapemilihan sebaliknya barisan yang bersatu hati, fokus kepada tanggungjawab bersama dan bersedia menggalas amanah rakyat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mustapha percaya PKR akan kekal konsisten menjadi sebuah parti yang menghargai pengalaman dan kesetiaan ahlinya yang telah lama menabur bakti, dan pada masa sama membuka ruang kepada suara serta tenaga baharu yang ingin menyumbang.

“Saya percaya kekuatan parti ini tidak terletak pada siapa yang memegang jawatan tetapi pada semangat juang yang tidak pernah padam dan keyakinan bahawa politik mesti terus dibersihkan, dimanusiakan dan dipandu oleh nilai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan