INANAM, 23 Mei (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali hari ini menafikan dakwaan kononnya Kerajaan MADANI menghapuskan subsidi gas petroleum cecair (LPG) bagi premis makanan menggunakan lebih 42 kilogram (kg) bahan itu.
Beliau berkata premis yang mahu menggunakan lebih 42kg LPG hanya perlu memohon permit barang kawalan berdasarkan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa sejak 15 Okt 2021.
Armizan berkata mana-mana pihak terutama rakyat biasa yang tidak menyimpan atau menggunakan LPG melebihi had berkenaan pula tidak tertakluk kepada keperluan permit itu.
“Perlu diingat, subsidi LPG mencecah RM3.4 bilion pada tahun lepas. Ini adalah satu jenis subsidi kepenggunaan untuk rakyat, bukannya subsidi perniagaan atau perdagangan. Ada kes spesifik perniagaan perlu menggunakan LPG melebihi 42kg pada satu masa, maklumkan kepada saya.
“Kita boleh semak sama ada premis perniagaan ini menjual barangan dan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat pada harga yang berpatutan, jika kos sara hidup rakyat dijadikan alasan untuk menghalalkan subsidi bagi operasi perniagaan mereka.
“Saya tidak fikir banyak kedai makan apatah lagi gerai makan atau gerai burger perlu menyimpan atau menggunakan tong LPG melebihi 42kg pada satu-satu masa, melainkan premis perniagaan berskala besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni di sini hari ini.
Armizan berkata dakwaan seperti itu mengelirukan rakyat dan perkara yang cuba disentuh itu bukan satu dasar atau peraturan baharu di bawah Kerajaan MADANI, sebaliknya telah dikuatkuasakan pada 2021 di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini.
“Mereka memainkan sentimen beban kos dipindahkan kepada rakyat, tetapi subsidi LPG ini datangnya daripada duit rakyat sendiri iaitu dana awam termasuk duit pembayar cukai. Adalah tidak wajar semua kos perniagaan termasuk perniagaan berskala besar ditanggung duit rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial