AM

MALBATT 850-12 Sambut Gawai Dan Kaamatan Di Lubnan

02/06/2025 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 menganjurkan sambutan Hari Gawai serta Kaamatan di Kem Tibnin, Lubnan semalam bagi meraikan perayaan penting bagi  masyarakat Sabah dan Sarawak itu. 

MALBATT 850-12 dalam kenyataan memaklumkan majlis itu, yang berlangsung penuh dengan nilai tradisi, turut menjadi platform diplomasi budaya dalam memperkenal warisan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

“Pelbagai persembahan kebudayaan Gawai dan Kaamatan dipersembahkan termasuk tarian tradisional Ngajat dan Alu-Alu dari Sarawak serta tarian Sumazau dari Sabah.

“Para tetamu turut disajikan dengan hidangan istimewa masyarakat Dayak dan Kadazandusun sambil menyaksikan Upacara Potong Ranyai yang menjadi simbol kesyukuran serta kemakmuran pada musim menuai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan acara berkenaan dihadiri oleh Komander Sektor Barat UNIFIL Brigedier Jeneral Nicola Mandolesi, komander-komander batalion, anggota kontinjen di bawah Sektor Barat serta staf markas UNIFIL.

Komander MALBATT 850-12 Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh turut menyampaikan cenderamata khas berupa pedang Parang Ilang dan Perisai Terabai kepada tetamu kehormat sebagai lambang kekayaan warisan, keberanian serta kehormatan masyarakat Dayak.

“Sambutan ini memperlihatkan semangat Malaysia serta perpaduan yang menjadi teras identiti negara, membuktikan bahawa rakyat Malaysia tetap bersatu dalam kepelbagaian etnik dan budaya dengan semangat harmoni dan saling menghormati.

“Selain itu, ia turut mengeratkan hubungan antara kontinjen pelbagai negara di bawah Sektor Barat serta memperkukuh semangat perpaduan dan persefahaman dalam kalangan warga pengaman yang berkhidmat bersama di Lubnan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan