AM

Setiap Permohonan MITRA Diteliti PMO Pastikan Ketelusan - Ramanan

31/07/2025 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kelulusan setiap program Transformasi Masyarakat India (MITRA) melalui proses penyelarasan dan penelitian oleh pejabat Perdana Menteri (PMO) demi memastikan ketelusan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau yang turut dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India berkata setiap permohonan juga melalui proses saringan bahagian pemantauan, kewangan dan integriti Jabatan Perdana Menteri.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memantau secara langsung segala perancangan dan perkembangan bagi memastikan sistem penyampaian yang telus demi menjamin harapan komuniti India khususnya kumpulan B40,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setiap keputusan yang diluluskan PMO adalah hasil daripada proses penyelarasan yang teliti, berfakta dan merangkumi input pelbagai kementerian serta agensi termasuk MITRA.

“Perdana Menteri mahu memastikan dana kerajaan yang diperuntukkan itu disalurkan untuk program yang dapat meningkatkan taraf hidup komuniti India dan tidak mahu ada sebarang unsur pertindihan dengan agensi kerajaan yang lain,” katanya.

Ramanan menekankan bahawa PMO bertindak sebagai penyelaras dasar negara dan bukan mengambil alih peranan mana-mana agensi, sebaliknya memastikan semua inisiatif berjalan selaras dengan dasar kerajaan dan berimpak tinggi kepada rakyat.

Sementara itu, beliau berkata MITRA juga memainkan  peranan  penting dalam menggubal inisiatif untuk komuniti India dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Sumber Manusia .

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan