AM

16 Program Berimpak Tinggi Diluluskan Untuk Manfaat Masyarakat India – PMO

30/07/2025 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Sebanyak 16 program berimpak tinggi telah diluluskan untuk manfaat masyarakat India di negara ini melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) setakat Julai tahun ini, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menurut kenyataan PMO, kesemua program berkenaan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat iaitu pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan serta kesejahteraan sosial.

“Langkah ini mencerminkan tekad berterusan Kerajaan MADANI dalam mengangkat peranan masyarakat India sebagai rakan pembangunan negara menerusi pendekatan yang inklusif, progresif dan berteraskan impak menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, beberapa permohonan tidak dapat diluluskan termasuk program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertindih serta berada di bawah bidang kuasa dan selenggaraan Majlis TVET Negara.

Turut tidak diluluskan ialah cadangan program yang bertindih dengan inisiatif sedia ada di bawah beberapa kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Penyelarasan perlu dilakukan bagi mengelakkan pertindihan peranan dan penggunaan sumber,” menurut kenyataan itu.

PMO memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi dan menilai pelaksanaan beberapa lagi inisiatif strategik dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat India terus menerima manfaat pembangunan yang adil, saksama dan mampan.

“Kerajaan teguh dengan prinsip bahawa setiap lapisan rakyat, termasuk komuniti India, berhak menikmati peluang dan kemajuan negara secara menyeluruh selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan