MPBN LEBIH INKLUSIF, PERMOHONAN PEMILIHAN AHLI LANTIKAN MENTERI SECARA UMUM
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membuka permohonan bagi pemilihan ahli lantikan menteri dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) secara umum bermula penggal ke-35 sesi 2025-2026, agar badan itu lebih inklusif.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata pendekatan baharu itu berupaya mengangkat suara belia daripada pelbagai latar belakang termasuk atlet para serta belia dari Sabah dan Sarawak.
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen KBS mengangkat suara belia daripada pelbagai perspektif dan latar belakang ke peringkat tertinggi secara adil dan seimbang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan asal daripada Yeo Bee Yin (PH-Puchong) tentang usaha kerajaan memperkasakan MPBN sebagai platform suara anak muda.
Adam Adli berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan KBS, selain mengembalikan penganjuran persidangan MPBN dua kali setahun bermula 2024 dan menyiarkannya secara langsung di media sosial.
-- BERNAMA
MyJALAN TERIMA 39,371 ADUAN KEROSAKAN JALAN RAYA SEJAK 2023
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Aplikasi MyJalan KKR menerima 39,371 aduan berkaitan kerosakan jalan raya sepanjang tempoh Ogos 2023 sehingga 30 Jun lepas, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 11,959 aduan atau 30.4 peratus melibatkan Jalan Persekutuan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) manakala 27,412 bersamaan dengan 69.6 peratus lagi membabitkan jalan bandaran di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) kerajaan negeri, serta agensi lain.
“Berhubung status aduan jalan di Sarawak, sebanyak 809 aduan diterima. Sebanyak 68 aduan adalah di bawah seliaan KKR yang 43 daripadanya telah diselesaikan dan 25 aduan sedang dalam tindakan manakala baki 741 aduan atau 91.59 peratus merupakan aduan jalan membabitkan pihak bertanggungjawab lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang bertanya mengenai statistik aduan serta pencapaian aplikasi MyJalan dalam menyelesaikan aduan kerosakan jalan raya di Sarawak dan penambahbaikan dibuat KKR untuk aplikasi itu.
-- BERNAMA
500 PEMAIN MUDA SEPAK TAKRAW SERTAI LATIHAN BERSTRUKTUR NSTDP
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 500 pemain muda sepak takraw akan mengikuti latihan berstruktur di 25 pusat latihan di bawah Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP), kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.
Beliau berkata program itu bertujuan menyesuaikan pemain muda lebih awal dengan suasana pertandingan yang menguji ketahanan mental.
“Sebanyak 340 lelaki dan 160 wanita berusia antara 13 hingga 17 tahun akan melalui pendekatan latihan yang berstruktur di 25 pusat latihan NSTDP dengan pemantauan 50 jurulatih,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Adam Adli menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai perancangan Kementerian bagi memastikan bidaan penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 tidak hanya bersifat ‘event-based’, sebaliknya turut memacu pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi secara mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial