AM

Tempoh Penggantungan Perlembagaan NAFAS Masih Berkuat Kuasa - Mohamad Sabu

06/08/2025 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Tempoh penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) masih berkuat kuasa sejak 1 Nov tahun lepas bagi membolehkan proses penstrukturan semula tadbir urus dan perniagaan dijalankan secara menyeluruh. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sepanjang tempoh penggantungan tersebut, NAFAS ditadbir oleh pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang dan dibantu sebuah Majlis Penasihat yang terdiri daripada ahli profesional berpengalaman. 

“Pendaftar telah melantik Majlis Penasihat NAFAS yang dianggotai oleh lima orang ahli profesional berpengalaman dalam bidang tadbir urus serta pengurusan kerajaan yang berperanan untuk menilai semula setiap aspek pengurusan dan perniagaan NAFAS.

“… termasuk subsidiari bagi memastikan tindakan pembetulan bersifat menyeluruh, berasaskan fakta dan menjurus kepada pemulihan institusi secara berstruktur dan berintegriti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu status terkini penggantungan perlembagaan NAFAS sejak 1 Nov 2024 serta pembaharuan yang telah dilaksanakan dalam perlembagaan baharu NAFAS.

Majlis Penasihat NAFAS itu dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman dan turut dianggotai bekas Timbalan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Hadzir Md Zain.

Mohamad berkata antara strategi pembaharuan yang sedang giat dilaksanakan termasuk reformasi tatakelola NAFAS, penilaian dan penstrukturan semula tadbir urus, penstrukturan semula syarikat subsidiari, audit pengurusan dan pemantauan berterusan, pengukuhan mekanisme semak dan imbang serta pemulihan kepercayaan awam.

“Strategi pembaharuan dan hala tuju NAFAS akan dipetakan melalui dokumen Blueprint Penambahbaikan Tatakelola dan Keberdayasaingan NAFAS 2.0 yang merangkumi lima teras iaitu tadbir urus dan kepimpinan organisasi, perundangan dan pematuhan, pengurusan dana dan perolehan, model perniagaan kelestarian kewangan serta sistem pemantauan audit dalaman dan penerbitan,” katanya. 

Menjawab soalan tambahan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) sama ada kementerian bersedia mendedahkan laporan penuh siasatan kepada umum, Mohamad berkata ia bergantung kepada pertimbangan penasihat undang-undang yang akan dirujuk.

“Saya difahamkan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), tiada masalah kerana PAC berkuasa memanggil mana-mana jabatan kerajaan termasuk memanggil Menteri sendiri untuk memberi penerangan.

“Namun, sama ada laporan siasatan boleh didedahkan kepada umum atau tidak, ia bergantung kepada perbincangan dan perlu dirujuk kepada pihak yang mengendalikan urusan dari sudut perundangan kerana ada perkara yang tidak boleh didedahkan sepanjang siasatan berlangsung,” tambahnya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan