AM

Naik Taraf Perjanjian Perdagangan ASEAN-China Pacu Peluang, Pelaburan

25/05/2025 11:31 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (CAFTA) 3.0 yang dinaik taraf dan dijadualkan untuk dimeterai akhir tahun ini, melambangkan kemajuan penting dalam memperkukuh perdagangan, pelaburan dan keterhubungan dua kuasa ekonomi berkenaan, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Beliau berkata pemuktamadan CAFTA 3.0 juga tepat pada masanya dan penting berikutan ketidaktentuan ekonomi global.

“ASEAN dan China telah mengusahakan naik taraf ini bagi beberapa lama. Pada tahun lepas, kedua-dua pihak mencapai hasil yang penting, namun hanya tahun ini kita dapat memuktamadkan naik taraf sepenuhnya kepada versi 3.0,” katanya pada sesi temu bual media di sini, hari ini.

Kao berada di ibu negara bagi mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.

Menjelaskan selanjutnya, beliau berkata usaha itu penting dalam memastikan FTA kekal relevan selain responsif terhadap realiti perdagangan semasa, terutama memandangkan jumlah dagangan antara ASEAN dan China.

"China misalnya merupakan rakan dagang nombor satu ASEAN selama 16 tahun berturut-turut dan ASEAN pula adalah rakan dagang utama China sejak lima hingga enam tahun ini .

“Ini sudah cukup untuk memaparkan kekuatan hubungan ekonomi kita,” katanya.

Sehubungan itu, Kao optimis perjanjian yang dinaik taraf itu dapat membuka lebih banyak peluang bagi perniagaan di kedua-dua pihak menerusi peningkatan kemudahan perdagangan, aliran pelaburan serta kesalinghubungan pelancongan.

Lebih ketara lagi, kata Kao, gabungan ASEAN dan China membuka pasaran yang merangkumi dua bilion orang.

"Oleh itu, naik taraf ini amat penting, khususnya pada masa ini yang menyaksikan dinamik ekonomi global serta ketidaktentuan,” katanya.

Momentum yang didorong oleh pelancaran CAFTA pada 2010, turut menyumbang kepada  pertumbuhan perdagangan dua hala yang memberangsangkan.

Reputasi kedua-dua pihak sebagai rakan dagang turut menyaksikan nilai dagangan dua hala pada tahun lepas mencecah hampir US$1 trilion (US$1=RM4.23).

Kao turut berkongsi harapan terhadap mesyuarat yang bakal berlangsung beberapa hari ini, termasuk melihat barisan pemimpin ASEAN dan rakannya menegaskan lagi komitmen bersama terhadap perdagangan terbuka serta sistem dagangan antarabangsa yang berteraskan undang-undang.

“ASEAN kekal terbuka, telus dan komited penuh kepada sistem pelbagai hala dengan terasnya adalah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Kita tidak pernah berundur daaripada pendirian ini,” katanya.

Pada masa sama, tegasnya, pendirian ASEAN kekal konsisten sebagaimana dipaparkan dalam kenyataan bersama kalangan menteri-menteri ekonomi ASEAN dan pemimpinnya yang mengesahkan lagi dedikasi mereka terhadap pelbagai hala.

“ASEAN bekerjasama erat dengan tujuh rakan FTA dua hala kita -- China, Jepun, Korea, Australia, New Zealand, India dan Hong Kong bersama dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang disertai 15 negara.

“Kita perlu terus menegakkan apa yang dipercayai iaitu perdagangan terbuka berpaksikan undang-undang,” katanya.

FTA ASEAN-China yang ditandatangani pada 2004 dan dilaksanakan pada 2010, adalah antara rangka kerja perdagangan paling komprehensif di ASEAN.

Perjanjian dinaik taraf atau 3.0 akan datang pula bertujuan memperdalam usaha liberalisasi serta dapat diselaras dengan trend perniagaan dan ekonomi digital semasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan