AM

Menteri-menteri ASEAN Bersatu Menggesa Myanmar Patuhi 5PC

26/05/2025 12:42 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Menteri-Menteri ASEAN menegaskan agar Myanmar mematuhi sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai syarat utama sebelum mengadakan sebarang pilihan raya di negara itu, demikian keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN hari ini.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ASEAN telah menyampaikan mesej yang jelas, tegas dan konsisten kepada Myanmar bahawa sebarang perbincangan berhubung pilihan raya hanya boleh dilakukan selepas pelaksanaan penuh 5PC.

“Tiada gunanya mengadakan pilihan raya sekiranya hanya sebahagian rakyat Myanmar terlibat. Itu hanya akan memburukkan lagi keadaan. ASEAN berpegang teguh bahawa Konsensus Lima Perkara ini mesti dipatuhi oleh Majlis Pentadbiran Negara (SAC),” katanya.

Sementara itu, Menteri-Menteri Luar ASEAN hari ini turut mengulangi sokongan mereka terhadap keahlian penuh Timor-Leste dalam blok serantau itu, sambil mengiktiraf kemajuan ketara negara tersebut dalam melaksanakan peta hala tuju ASEAN.

Mohamad berkata perkembangan itu merupakan antara sorotan utama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, yang turut bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Khas bagi Timor-Leste.

Beliau menekankan bahawa Timor-Leste perlu menggandakan usaha untuk memenuhi semua keperluan dan memastikan pematuhan terhadap instrumen perundangan ASEAN, sambil menyuarakan harapan agar keanggotaan penuh negara itu dapat dimuktamadkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog pada penghujung Oktober ini.

Mohamad turut menggesa ASEAN supaya segera memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan daya tahan kolektif berikutan gangguan global yang semakin meruncing, termasuk perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, perubahan iklim dan peralihan teknologi yang pesat.

Beliau berkata persaingan kuasa besar serta perubahan dalam susunan dunia turut berpotensi mengganggu landskap serantau memandangkan negara-negara ASEAN antara yang paling terkesan akibat tarif yang dikenakan oleh AS.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kolektif ASEAN dijangka meningkat sebanyak 4.7 peratus pada 2025 berbanding 4.2 peratus tahun lepas.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-25 hari ini turut membincangkan kadar inflasi di rantau ini yang dijangka berada pada tahap tiga peratus.

“Terdapat perbincangan dan pembentangan oleh Sekretariat ASEAN apabila kami berbincang mengenai tahun 2024 dan apa unjuran kami untuk 2025 dari segi pertumbuhan KDNK. Turut dibincangkan ialah jangkaan kadar inflasi bagi rantau ini. 

Tengku Zafrul berkata kadar pelaksanaan Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 kini berada pada tahap memberangsangkan iaitu 97 peratus, merangkumi 75 peratus langkah yang telah disiapkan dan 22 peratus lagi sedang dilaksanakan.

Beliau berkata pelan induk itu telah menjadi pelan hala tuju strategik ke arah membina ekonomi ASEAN yang bersepadu dan padu, memacu pertumbuhan inklusif berasaskan inovasi, serta memperkukuh kesalinghubungan dan daya saing serantau.

Tengku Zafrul turut mengumumkan bahawa rundingan berhubung memorandum persefahaman dipertingkat bagi Grid Tenaga ASEAN (APG) dijangka dimuktamadkan menerusi pemeteraian pada Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 pada Oktober 2025, sebagai usaha memperkukuh keselamatan tenaga, kesalinghubungan dan kemampanan.

Beliau berkata para Menteri Ekonomi ASEAN menyambut baik usaha berterusan ke arah mewujudkan Kerangka Kemudahan Pembiayaan APG, yang bakal merancakkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) rentas sempadan serta membuka peluang pembiayaan baharu untuk projek berkaitan tenaga serantau.

“Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran mesyuarat bersama Menteri Tenaga, Kewangan dan Ekonomi ASEAN pada Ogos 2025,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat AECC di sini, hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan