KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045, yang bakal diterima pakai pemimpin serantau esok, akan menjadi peta hala tuju strategik selama 20 tahun yang berani, namun pragmatik untuk memimpin pembangunan rantau ini di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata visi baharu itu mencerminkan komitmen ASEAN terhadap ketahanan jangka panjang, keterangkuman dan kerjasama berterusan dengan rakan luar.
“Pada 10 tahun lepas, di bawah kepimpinan Malaysia, pemimpin ASEAN meluluskan Visi Komuniti ASEAN 2025. Tahun ini genap ulang tahun ke-10 dan kini, pemimpin memulakan wawasan 20 tahun … menggandakan jangka masa dan aspirasi,” katanya kepada media dalam temu bual di sini hari ini.
Kao berkata ACV 2045 disokong oleh empat pelan strategik meliputi Komuniti Politik-Keselamatan, Komuniti Ekonomi, Komuniti Sosiobudaya, dan Kesalinghubungan ASEAN.
“Ia bukan sekadar visi di atas kertas. Pelan strategik ini direka untuk membimbing ASEAN dalam menentukan keutamaan kerjanya sambil mengekalkan perpaduan, solidariti dan kepusatan ASEAN,” katanya dan menambah peta hala tuju itu turut mengiktiraf keperluan untuk bekerjasama rapat dengan rakan luar termasuk dialog, sektoral dan rakan global.
Kao berkata ACV 2045, atau Visi berkenaan, mengambil kira cabaran dan peluang yang dibawa oleh megatrend global dan bertujuan menyediakan tindak balas yang strategik dan realistik untuk dua dekad akan datang.
“Dokumen ini bersifat pandang ke hadapan dan strategik, mengiktiraf perubahan dalam geopolitik, pendigitalan, perubahan demografi, risiko iklim dan isu mendesak yang lain. Ia memberikan kejelasan tentang kaedah ASEAN perlu mengemudi masa depan,” katanya.
Berkenaan penglibatan ASEAN yang semakin meningkat dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, terutamanya melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang bakal berlangsung, Kao berkata rangka kerja tiga pihak itu membuka pintu untuk sinergi lebih besar dan peluang baharu dalam kerjasama ekonomi.
“Setiap rantau mempunyai kekuatan tersendiri. ASEAN sentiasa berusaha mengukuhkan kerjasama sedia ada sambil mengenal pasti bidang baharu yang boleh dimanfaatkan bersama,” katanya.
Beliau berkata ASEAN melihat potensi besar dalam meningkatkan kerjasama dengan GCC dan China, serta sidang kemuncak ini merupakan satu inisiatif penting dalam mewujudkan peluang baharu melalui kerjasama ekonomi pelbagai hala.
“Masih banyak potensi dengan GCC. Dengan membawa China ke dalam rangka kerja ini, kita menyediakan ruang baharu untuk membina sinergi dan membuka bidang kerjasama yang saling menguntungkan. ASEAN sentiasa melihat ke hadapan terhadap apa lagi yang boleh dilakukan,” kata Kao.
Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penerimaan Visi Komuniti ASEAN 2045 menandakan permulaan usaha kolektif untuk masa depan, mengukuhkan komitmen bersama terhadap ASEAN yang selamat, aman, mempunyai ketahanan dan berpaksikan rakyat.
Beliau menyifatkan ia sebagai cita-cita yang berani – untuk mengubah ASEAN menjadi sebuah komuniti yang berdaya tahan, inovatif dan berorientasikan rakyat – sambil menegaskan bahawa ia bukan sekadar satu tanda simbolik.
Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025 di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial