Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini mengesahkan laporan Bernama bahawa Malaysia dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) akan memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) tidak lama lagi.
Beliau berkata hari ini kedua-dua pihak merancang untuk pelancaran rundingan FTA itu secara rasmi manakala kenyataan hasrat bersama pula dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.
Semalam, Bernama melaporkan rundingan mengenai FTA antara Malaysia dan negara GCC dijangka bermula pada 27 Mei, 2025.
Tengku Zafrul berkata semasa lawatan ke pejabat GCC di Arab Saudi minggu lepas, beliau telah berbincang dengan Setiausaha Agung GCC (Jasem Mohamed AlBudaiwi) “mengenai usaha untuk memastikan rundingan ini dipercepatkan dan dimuktamadkan dalam tempoh setahun.”
“Kita baru memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebagai contohnya, dan perjanjian itu dapat direalisasikan dalam tempoh hanya 10 bulan.
“Jadi, inilah peluang untuk kita meneruskan usaha dengan GCC secara keseluruhannya supaya kita boleh mengembangkan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan GCC,” katanya.
GCC, ditubuhkan menerusi satu perjanjian yang dimuktamadkan pada 25 Mei, 1981, merupakan perikatan politik dan ekonomi serantau yang meliputi negara anggotanya iaitu Arab Saudi, UAE, Qatar, Oman, Kuwait dan Bahrain.
Tengku Zafrul berkata Malaysia menyasar untuk menghasilkan satu rangka kerja yang memberi manfaat bersama daripada limpahan perdagangan dan pelaburan kepada kedua-dua pihak apabila perjanjian itu ditandatangani.
Beliau berkata walaupun perbincangan masih di peringkat awal namun, beberapa sektor utama telah dikenal pasti mempunyai potensi yang tinggi.
“Bagi pengeksport Malaysia, kita memberi tumpuan kepada sektor seperti semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).
“Kita juga menumpukan sektor tradisional yang mencatatkan kehadiran kukuh GCC seperti kimia dan petrokimia serta minyak dan gas.
“Industri yang sedang pesat membangun turut berada dalam agenda ini, termasuk ekonomi halal, ekonomi digital, tenaga boleh baharu (TBB) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Tengku Zafrul berkata Malaysia juga sedang berbincang dengan beberapa negara anggota GCC mengenai perkongsian pengalaman Malaysia dalam sektor semikonduktor.
Beliau berkata sektor TBB adalah bidang yang amat berpotensi untuk kerjasama, memandangkan negara anggota GCC sedang membuat pelaburan besar dalam sektor itu.
“Malaysia mahu mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Jadi, kita perlu bekerjasama rapat dengan kalangan pelabur dan syarikat tenaga.
“Kita telah mendapati di Malaysia terdapat dua syarikat tenaga utama, dari UAE dan Arab Saudi, yang telah menyatakan minat mereka secara terbuka untuk melabur dalam TBB di Malaysia,” katanya.
Ketika ditanya mengenai nilai perdagangan yang berpotensi daripada FTA dengan GCC, Tengku Zafrul berkata masih terlalu awal untuk membuat unjuran.
“Kita hanya ingin mengumumkan bahawa kita akan memulakan rundingan. Dari situ, kita perlu bersetuju mengenai sektor dan terma sebelum boleh menjalankan analisis untuk mengunjurkan aliran perdagangan dan pelaburan yang berpotensi,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini di KLCC.
Acara itu diadakan bersama dua sidang kemuncak utama lain, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, sebagai platform penting memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.
Sepanjang menjadi anggota dalam blok 10 negara ini, Malaysia telah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Tengku Zafrul berkata sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk bertindak sebagai penghubung antara blok serantau itu dan GCC.
Beliau berkata walaupun mempunyai hubungan yang sekian lama dengan GCC serta negara anggota ASEAN yang lain, Malaysia perlu memanfaatkan peranan sebagai pengerusi ASEAN tahun ini dengan membawa bersama negara anggota ASEAN untuk jalinan lebih erat dengan GCC.
“Itulah sebabnya kita mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, dan pada masa sama, kita mengadakan sidang kemuncak ekonomi untuk ASEAN-GCC,” katanya.
Tengku Zafrul berkata platform itu berperanan penting untuk meningkatkan kesalinghubungan dalam perniagaan, digital dan kerjasama infrastruktur.
“Dalam landskap geopolitik dan geoekonomi yang semakin mencabar hari ini, kini adalah masa tempoh terbaik untuk negara anggota ASEAN dan GCC bekerjasama dan menilai pasaran serta memantau pelaburan masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial