Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman
PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Laos dan Malaysia menjalin kerjasama untuk meningkatkan perdagangan rentas sempadan melalui laluan kereta api dan laut dengan pertukaran Memorandum Kerjasama (MoC) antara Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan Thanaleng Dry Port (TDP), di sini, hari ini.
Memorandum itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports) Datuk Azman Shah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif PTL Holding Co. Ltd (PTLH) Chanthone Sitthixay, dan disaksikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta rakan sejawatannya Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone.
PPSB adalah anak syarikat MMC Ports, manakala PTLH syarikat induk Vientiane Logistics Park Co. Ltd., yang menguruskan TDP.
Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada inisiatif yang lebih meluas di bawah inisiatif Rangkaian Kereta Api Pan-Asia, menyepadukan Kereta Api China-Laos untuk mewujudkan laluan perdagangan strategik yang menghubungkan selatan China melalui Laos dan Thailand ke Pantai Barat Malaysia.
Azman Shah berkata kerjasama itu menyokong peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai hab logistik serantau dan sejajar dengan usaha untuk meningkatkan kesalinghubungan ASEAN.
Menurutnya inisiatif itu bukan sahaja akan menggalakkan integrasi pelbagai kaedah dengan menggabungkan pengangkutan rel dan laut tetapi juga mengurangkan masa transit dan kos logistik, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi serantau.
“Kami berbesar hati menyumbang kepada usaha TDP merealisasikan strategi nasional Laos untuk melakukan transformasi daripada negara dilingkungi daratan kepada negara penghubung jalan perdagangan.
“Perkongsian ini meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk bagi perdagangan antara tanah besar Asia Tenggara dan pasaran global, selain turut menyokong Laos menjadi ekonomi penghubung jalan perdagangan,” katanya kepada Bernama.
Azman Shah berkata, kerjasama itu akan melibatkan perkongsian pengetahuan operasi, usaha pemasaran bersama, penyepaduan sistem, memudahkan proses dokumentasi, penyelarasan infrastruktur dan pertukaran kakitangan bagi tempoh jangka pendek.
MMC Ports ialah syarikat induk bagi anak syarikatnya yang mengendalikan lima pelabuhan di seluruh Semenanjung Malaysia, iaitu PPSB, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Port Bhd, Northport (Malaysia) Bhd dan Tanjung Bruas Port Sdn Bhd, sekali gus menjadikannya pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan TDP Sakhone Philangam berkata kerjasama itu menandakan satu kejayaan penting dalam mengubah Laos menjadi pemain logistik utama walaupun statusnya sebagai negara dilingkungi daratan.
Philangam berkata perkongsian strategik itu dijangka memberi manfaat kepada Laos dari segi ekonomi, kerana ekonomi berskala kecil negara itu perlu bergantung pada volum perdagangan yang lebih tinggi melalui kerjasama dengan pemain serantau seperti Malaysia dan China.
"Malaysia sudah mantap dalam logistik maritim, dengan hubungan kukuh ke Afrika, India dan wilayah lain. Ini menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang rakan pelabuhan yang logik bagi kami.
"Dalam logistik, anda memerlukan pengumpulan secara besar-besaran. Kami tidak mempunyai jumlah itu, jadi perkongsian ini akan membolehkan kami memanfaatkan rangkaian logistik yang lebih besar," katanya.
Ini merupakan kali kedua TDP memeterai MoC dengan syarikat Malaysia, susulan perjanjian awal dengan Mutiara Perlis Sdn Bhd untuk memudahkan perkhidmatan pelabuhan darat antara Perlis Inland Port dan TDP di Vientiane.
Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Laos berjumlah RM99.7 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM67.8 juta dan import berjumlah RM31.9 juta.
Malaysia merupakan pelabur asing kelima terbesar Laos, dengan jumlah pelaburan bernilai US$942 juta merentas 46 projek dalam sektor termasuk tenaga boleh baharu, pengangkutan, telekomunikasi, pembinaan, perbankan dan hospitaliti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial