KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Timor-Leste semakin mengukuhkan kedudukan dalam keluarga ASEAN, dengan beberapa kemajuan penting berjaya dicapai di bawah pelan hala tuju rasmi, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Merujuk kepada penglibatan aktif dalam proses ASEAN sebagai penunjuk utama, Kao berkata penyertaan Timor-Leste dalam mesyuarat-mesyuarat blok serantau itu meningkat dengan ketara tahun ini.
“Pada suku pertama tahun ini, Timor-Leste menghadiri kira-kira 90 peratus mesyuarat ASEAN berbanding 83 peratus tahun lepas. Ia satu lonjakan besar,” katanya kepada media dalam temu bual bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini hari ini.
Kao mengetuai delegasi Sekretariat ASEAN ke sidang kemuncak itu, yang turut mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama.
Beliau berkata pemimpin ASEAN dijangka membincangkan lebih lanjut berhubung permohonan keanggotaan Timor-Leste pada mesyuarat esok, yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
Antara langkah konkrit yang diambil, Kao menekankan penubuhan unit penyelarasan negara khas ASEAN dalam kerajaan Timor-Leste, sebagai usaha menyelaraskan struktur dalaman negara berkenaan dengan mekanisme ASEAN.
Rakan ASEAN turut membincangkan perkembangan ini semasa sidang kemuncak kali ini, menilai pelaksanaan pelan hala tuju keanggotaan Timor-Leste yang diluluskan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia pada 2023.
Sementara itu, Kao berkata satu faktor utama yang boleh mempengaruhi garis masa kemasukan Timor-Leste ialah penerimaan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan empat pelan strategik yang dijangka diluluskan pada sidang kemuncak ini.
Pelan tindakan komuniti ASEAN sedia ada akan tamat pada akhir tahun ini, dengan Visi ASEAN 2045 dijangka memandu arah rantau ini bermula pada 2026.
“Faktor ini sangat penting, tetapi sudah tentu keputusan tentang permohonan Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN bergantung sepenuhnya pada negara anggota,” kata Kao.
Dalam pada itu, Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas meluahkan keyakinan bahawa negara itu mungkin akan mendapat keanggotaan penuh seawal tahun ini.
Timor-Leste diberikan status pemerhati pada 2022, menandakan langkah rasmi pertama dalam kerangka ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial