SEPANG, 25 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur.
Pesawat khas yang membawa Siphandone, isterinya Vandara Siphandone serta delegasi Laos tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 9.05 pagi dan ketibaan mereka disambut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Sejurus tiba, Perdana Menteri Laos memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten J Lingesri Rao.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan ini adalah lawatan pertama Siphandone ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Laos pada Disember 2022.
Lawatan itu, yang dilakukan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada 26 dan 27 Mei di ibu negara, menggariskan hubungan kukuh antara Malaysia dan Laos.
Siphandone akan diberikan sambutan rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya yang disusuli mesyuarat dua hala.
Wisma Putra memaklumkan mesyuarat itu akan memfokus kepada kemajuan hubungan dua hala ketika ini khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan, pelancongan, pembinaan kapasiti, pertanian serta industri halal.
Kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global dengan penekanan terhadap kepentingan strategik ASEAN sebagai platform yang kohesif dan responsif bagi menangani kebimbangan bersama khususnya berkaitan cabaran geopolitik dan geoekonomi baharu.
Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Laos mencecah US$21.9 juta (RM99.7 juta) dengan eksport Malaysia bernilai US$14.9 juta (RM67.8 juta) dan import bernilai US$7 juta (RM31.9 juta).
Malaysia adalah pelabur asing kelima terbesar di Laos dengan jumlah pelaburan bernilai US$942 juta dan 46 projek berdaftar yang memfokus kepada sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan dan logistik, telekomunikasi, pembinaan, perbankan dan perkhidmatan hotel.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial