IPOH, 20 Jun (Bernama) -- Rumah keluarga mentua Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin di Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini, didakwa terputus bekalan elektrik (blackout) sebelum terbakar, malam tadi.
Kebakaran itu menyebabkan ibu mentua Hamzah, Datin Salmiah Nyak Matt, 84, maut sementara suaminya Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, sesak nafas.
Anak pasangan itu, Ahmad Ikhwan, 57, berkata adik bongsunya yang tinggal di situ memberitahu kejadian berlaku pada 9.15 malam.
“Adik keluar untuk melihat rumah jiran kerana menyangka semua rumah juga sama, tetapi tidak. Selepas itu, dia nampak asap tebal dari bilik mak.
“Terus dia masuk semula dan tengok bilik sudah penuh dengan asap,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ahmad Ikhwan berkata bapanya kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Beliau berkata jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat hari ini.
Sementara itu Hamzah dan isteri Datin Seri Norashikin Abdul Ghani dilihat berada di Jabatan Forensik HRPB dan turut menaiki van jenazah membawa Allahyarham Salmiah untuk ke masjid.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat, dan polis menerima panggilan kecemasan pada 9.19 malam tadi.
Kejadian itu membabitkan enam orang, dengan empat daripadanya yang berusia 18 hingga 49 tahun selamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial