AM

MARA Hentikan Penghantaran Pelajar Ke AS, Tukar Haluan Ke Negara Lain - Pengerusi

01/06/2025 08:05 PM

Daripada Syamsiah Sahat

LONDON, 1 Jun (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menghentikan penghantaran pelajar tajaannya ke Amerika Syarikat (AS) mulai tahun ini susulan pengenalan polisi dan dasar baharu Presiden Donald Trump.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya telah memulakan perbincangan dengan pelajar di kolej persediaan ke negara ‘Uncle Sam’ itu untuk menyambung pengajian ke tempat lain.

“Jadi, kita akan hantar mereka menyambung pengajian dalam bidang serupa dengan apa yang kita fokuskan di AS termasuk ke United Kingdom, New Zealand dan juga Australia, malah Jepun dan juga China.

“Kos ke negara-negara ini juga lebih murah daripada AS,” katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Beliau berada di United Kingdom bagi mengadakan pertemuan strategik bersama pengurusan tertinggi dan profesor kanan terkemuka di Universiti Cambridge di sini.

Pertemuan itu antara lain bertujuan meneroka potensi kerjasama MARA-Cambridge yang mampu melonjakkan lagi kualiti pendidikan dan pembangunan modal insan negara.

Asyraf Wajdi berkata MARA turut berbincang dengan 266 pelajar tajaannya di AS agar mereka dapat menyambung pengajian di negara lain yang menawarkan bidang serupa.

Ini termasuk bidang sains komputer, kejuruteraan serta teknologi tinggi seperti robotik dan kecerdasan buatan.

“Apabila Trump membuat pelbagai polisi baharu sekarang ini, kita sudah tentu meneliti secara serius dan kita memfokuskan juga pelajar-pelajar yang sedang berada di AS, sejauh mana ia akan menjejaskan pelajaran mereka di sana termasuk peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Sebelum ini, pentadbiran Trump mengeluarkan arahan untuk menghentikan pemprosesan visa semua pelajar asing dan mempertimbangkan langkah untuk menyaring pemohon baharu berdasarkan hantaran media sosial mereka.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan