Daripada Syamsiah Sahat
LONDON, 2 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di United Kingdom (UK) pada Ahad bagi memulakan lawatan kerja empat hari.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Heathrow pada 8.30 malam tadi (3.30 pagi waktu Malaysia) disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar serta pegawai kanan kedutaan dan agensi kerajaan berkaitan.
Lawatan kerja itu bertujuan memperkukuh hubungan Malaysia-UK dengan memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pelancongan dan pelaburan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijangka bertemu wakil institusi terkemuka seperti University College London, menyampaikan syarahan umum mengenai hala tuju TVET negara serta berinteraksi bersama pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Beliau akan turut merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi pasaran UK esok, bagi merancakkan aktiviti promosi pelancongan selain menarik pelabur dari Eropah ke Malaysia.
Lawatan itu juga akan menjadi medan penting untuk meningkatkan nilai strategik Malaysia-UK, memperluas jaringan diplomatik dan membuka lebih banyak peluang kerjasama untuk rakyat dan negara.
UK merupakan rakan dagang penting bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan pada 2024 mencecah RM16.80 bilion (US$3.68 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial