PUTRAJAYA, 28 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa juruaudit, akauntan dan pengawal selia di seluruh ASEAN supaya memperkukuh komitmen mereka terhadap tadbir urus yang baik, berteraskan nilai murni serta maruah dalam melaksanakan tanggungjawab.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kecemerlangan teknikal tidak mencukupi tanpa disertai dengan kejelasan moral dan pengawasan bebas untuk membina institusi serta masyarakat yang bertanggungjawab.
Beliau berkata teras kepada tadbir urus yang baik ialah kebertanggungjawaban.
“Kita sering memperkatakan mengenai keterangkuman, kemampanan. Namun, jika diteliti Visi Komuniti ASEAN 2045, asas utamanya adalah tanggungjawab dan tadbir urus yang baik. Ia mencerminkan suara majoriti rakyat kita.
“Siapa mahu tinggal di sebuah negara yang dipenuhi dengan ketirisan, rasuah dan pembaziran. Justeru, saya amat menyokong Institusi Audit ASEAN untuk melaksanakan visi ini,” kata beliau ketika berucap pada penutup Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsan Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Perdana Menteri berkata adalah penting untuk institusi audit diberikan kuasa beroperasi secara bebas dan penuh tanggungjawab supaya lebih bersedia dalam menghadapi cabaran dalam negara dan di rantau ini.
“Kini kita melangkah lebih jauh dengan memperkuat piawaian tertinggi dalam ketelusan dan kebertanggungjawaban, di samping mengukuhkan rangka kerja antirasuah melalui kebebasan juruaudit dan pengawal selia,” kata beliau.
Anwar turut menegaskan beliau tidak akan sesekali mencampuri urusan audit atau hasil Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum dikemukakan kepada Kabinet atau dibentangkan di Parlimen.
"Sudah tentu, mereka memberikan taklimat kepada saya… dalam dua minggu lepas tetapi itu hanya taklimat, bukan untuk saya campur tangan atau ubah dasar.
“Itulah yang kita maksudkan dengan tadbir urus yang baik dan ketelusan, sekali gus akan mengukuhkan kerajaan dan integriti serta memperlihatkan peningkatan berterusan dalam Indeks Persepsi Rasuah,” kata Anwar.
Selaras dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan pelantikan Ketua Audit Negara Malaysia sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit ASEAN, Jabatan Audit Negara menganjurkan Persidangan Juruaudit ASEAN kali pertama bermula semalam hingga hari ini, bertemakan Inclusive and Sustainable Auditing for a Progressive ASEAN.
Persidangan itu menghimpunkan lebih 2,000 peserta daripada sektor awam dan swasta termasuk delegasi serantau dan antarabangsa serta beberapa Ketua Institusi Audit Tertinggi dari ASEAN seperti Brunei, Filipina, Kemboja dan Laos, selain Maldives dan Yaman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial