AM

Wartawan Pemegang Amanah Integriti - PM Anwar

29/05/2025 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan wartawan sebagai pemegang amanah integriti dalam memastikan rakyat mendapat maklumat yang sahih, seimbang dan berwibawa.

Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada semua wartawan atas dedikasi, keberanian serta komitmen mereka dalam menjalankan amanah kepada masyarakat dan negara.

"Dalam era ledakan maklumat dan cabaran penularan berita palsu, peranan wartawan menjadi semakin penting bukan sekadar menyampaikan berita namun menapis, menyaring dan menegakkan kebenaran," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun dan untuk 2025, majlis kemuncak sambutan akan berlangsung pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Perdana Menteri dijadual merasmikan sambutan itu dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA, yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, akan menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei ini dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia pada 14 Jun.

Memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran kali pertama pada 2018, HAWANA adalah acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan