KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih kepada kerajaan Thailand kerana memudahkan pelaksanaan beberapa projek di sempadan negara, termasuk jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok, yang sedang berjalan dengan baik.
Perdana Menteri menyampaikan penghargaan itu khusus kepada Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra semasa pembukaan Sidang Kemuncak Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
“Terima kasih sekali lagi khusus kepada Thailand kerana Perdana Menteri Paetongtarn pantas dalam memastikan pelaksanaan beberapa projek di sempadan, termasuk jambatan Rantau Panjang dan Sungai Golok, dan projek ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Semasa lawatan rasminya ke Thailand pada April, Anwar menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Perjanjian Pembinaan (CA) bagi Projek Jambatan Rantau Panjang–Sungai Golok.
Projek itu dijangka meningkatkan ketersambungan, perdagangan dan hubungan antara kedua-dua negara dengan ketara.
Merujuk kepada Sidang Kemuncak IMT-GT ke-16, Anwar berkata tumpuannya adalah untuk memacu transformasi ekonomi, khususnya melalui peningkatan ketersambungan rentas sempadan, pelancongan, sektor halal, industri tani dan pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) merentas sub-rantau.
“Kami beri tumpuan kepada perubahan iklim, yang telah memberi kesan kepada kehidupan dan kesejahteraan di seluruh subrantau. Mengenai infrastruktur, kami menyokong projek yang bernilai hampir USD39 bilion di ketiga-tiga negara.
“Terima kasih juga kepada menteri-menteri berkaitan yang melaksanakan tugas dengan baik untuk menyempurnakan sesi ini,” katanya.
Sidang kemuncak itu turut dihadiri oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Presiden Bank Pembangunan Asia Masato Kanda dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial