AM

Isu Premis E-waste Haram Membimbangkan - JAS Kedah

27/05/2025 04:17 PM

ALOR SETAR, 27 Mei (Bernama) -- Premis kitar semula bagi sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram menjadi antara isu yang semakin membimbangkan walaupun Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dipinda dan memperuntukkan hukuman lebih berat. 

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap beberapa premis yang menjalankan kegiatan pemprosesan serta pelupusan e-waste secara haram di negeri ini.

"Ada beberapa kes telah disabitkan di mahkamah dan ada sebilangan kes sedang dalam proses tindakan mahkamah. Kita dapati premis e-waste haram ini memang menjana keuntungan yang besar dan ini antara sebab kegiatan tersebut semakin berleluasa walaupun hukuman maksimum kini mencecah RM10 juta," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan “Seminar Pengurusan Alam Sekitar dan Pematuhan 2025” anjuran JAS Kedah dengan kerjasama Kelab Alam Sekitar Kedah (KASKED) yang disertai 430 peserta termasuk pempamer terdiri daripada pemain industri dari seluruh negara.

Tambah beliau pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikuatkuasakan bermula 7 Julai tahun lepas, antaranya bertujuan untuk membendung kegiatan pengimportan dan penyeludupan sisa e-waste secara haram.

Sharifah Zakiah berkata jika kesalahan bagi aktiviti berkaitan pengimportan, peletakan, pemprosesan serta pelupusan tersebut dikesan, denda boleh dikenakan maksimum RM10 juta berbanding RM500,000 sebelum ini, dan hukuman penjara mandatori maksimum lima tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata jika pengurusan sisa industri dan domestik tidak diuruskan dengan baik ia boleh menyumbang kepada pelbagai masalah alam sekitar yang serius, justeru pengurusan yang berkesan dan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan adalah amat penting. 

Beliau berkata usaha pencegahan dan kawalan pencemaran perlu melibatkan semua pihak secara bersepadu dan masyarakat juga boleh menjadi mata serta telinga bagi agensi penguatkuasaan dengan melaporkan segera sebarang kegiatan mencurigakan supaya tindakan segera dapat diambil.

“Ia bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak kerajaan malah memerlukan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak termasuk industri, komuniti, organisasi bukan kerajaan, institusi pendidikan dan individu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seminar dua hari hingga esok itu meliputi pembentangan mengenai isu pematuhan perundangan alam sekitar, pengurusan pencemaran industri, pemantauan persekitaran, serta peranan komuniti dalam pengurusan alam sekitar. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan