AM

PNB Sasar 10,000 Jam Kerja Sukarela, Pupuk Kesukarelawanan Dalam Organisasi  

27/05/2025 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyasarkan 10,000 jam kerja sukarela untuk menjalankan aktiviti sukarelawan seperti penanaman pokok, gotong-royong bersama komuniti dan program kesedaran alam sekitar bagi memartabatkan usaha kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan PNB Muzzaffar Othman berkata sasaran 10,000 jam kerja sukarela itu mencerminkan komitmen berterusan PNB untuk memberi nilai tambah kepada komuniti dengan memacu impak sosial positif serta memupuk budaya kesukarelawanan lebih kukuh dalam organisasi. 

“Lebih 500 sukarelawan PNB di pelbagai lokasi berjaya dihimpunkan pada pelancaran Hari Kesukarelawanan Signature PNB (PNB Signature Volunteerism Day) 2025.

“Sepanjang tahun lepas, PNB mencatat hampir 2,000 jam kerja sukarela yang disumbangkan oleh 370 warga kerja menerusi pelbagai program. PNB menetapkan sasaran lebih tinggi iaitu 10,000 jam kerja sukarela bagi tahun 2025 untuk meneruskan momentum ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian pada Hari Kesukarelawanan Signature PNB di Taman Alam Kuala Selangor baru baru ini, sebuah kawasan perlindungan alam semula jadi seluas 2,400 ekar yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti dan usaha pemuliharaan.  

Program itu diadakan dengan kerjasama strategik Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan disokong oleh Taman Alam Kuala Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Majlis Perbandaran Kuala Selangor serta komuniti setempat.

Aktiviti sukarelawan itu turut dijalankan serentak di cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di Melaka, Negeri Sembilan (Seremban), Perak (Ipoh), Johor Bahru (Batu Pahat), Pasir Puteh dan Kota Bharu di Kelantan serta Bintulu, Sarawak. 

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh PNB di bawah Rangka Kerja Kesukarelawanan PNB, yang dilancarkan pada Mac 2024 bertujuan memupuk budaya penglibatan inklusif dan pemberian bermakna dalam kalangan warga kerjanya.

 PNB turut melancarkan Rangka Kerja Pelaburan Sosial (SIF) bagi menyokong bidang pendidikan, kesihatan, pembangunan komuniti dan alam sekitar, sejajar dengan matlamat PNB, untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.

“Bagi mengukuhkan lagi komitmen PNB dalam menggalakkan dan membina budaya inklusif melalui aktiviti sukarelawan dalam kalangan rakan sekerja PNB pada Mac lalu, PNB melancarkan Rangka Kerja Kesukarelawanan PNB (PNB Volunteerism Framework) dengan hasrat untuk menyumbang kepada masyarakat dan persekitaran. 

"Menerusi pelaburan strategik dan komitmen terhadap kelestarian, PNB bukan sahaja berjaya mencapai pulangan yang mampan, malah turut memberi impak positif kepada generasi akan datang serta meningkatkan kualiti hidup rakyat," kata Muzaffar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan