AM

STR: Kaunter Bantu Penerima Tiada Akaun Bank Dibuka Di Pedalaman Sarawak Mulai 21 Jun

12/06/2025 03:08 PM

KUCHING, 12 Jun (Bernama) -- Kaunter pembayaran tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 bagi penerima tiada akaun bank akan dibuka di kawasan pedalaman Sarawak mengikut zon bermula 21 Jun hingga 2 Ogos ini.

Perbendaharaan Malaysia Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi zon utara merangkumi Bintulu dan Miri, kaunter akan dibuka di Dewan Lamin Adet Bangen Kimet Uma Baha Apau Koyan di Sungai Asap, Belaga, Gelanggang Bola Keranjang Saberkas Yunit (6), pekan Tatau dan Dewan Masyarakat Sepupok, Niah pada 21 dan 22 Jun.

Kaunter bagi zon itu turut dibuka di Dewan Masyarakat Beluru, Bakong pada 24 Jun, Dewan Rumah Adat Long, Busang, Belaga (5 Julai), Dewan Serbaguna Long Bedian, Baram (17 Julai), Dewan SJK(C) Kee Tee, Long Lama (19-20 Julai), Balai Raya Sebauh, Bintulu (19 Julai) dan Rumah Panjang Lusong Laku (2 Ogos). 

Bagi zon tengah merangkumi Sarikei, Mukah dan Kapit, kaunter akan dibuka di Dewan Kampung Semop, Daro (28-29 Jun), Stadium Perpaduan Dalat (28 Jun), Dewan Serbaguna Matu (30 Jun), Kompleks Sukan Tertutup Julau (12-13 Julai), Laman Pakan (12 Julai) dan Rumah Rantai, Nanga Semunte, Kapit (19-20 Julai).

Untuk zon selatan, kaunter akan dibuka di Dewan Balai Polis Kabong (5 Julai), Dewan Komuniti Pusa (5-6 Julai), Dewan Serbaguna Lingga (7 Julai), Dewan Masyarakat Sebuyau (12 Julai), Dewan Masyarakat Tebedu (26-27 Julai), Dewan Badminton Asaya Jaya Ulu (26-27 Julai) dan Dewan SMK Simunjan No.1 (26-27 Julai).

Perbendaharaan Malaysia Sarawak memaklumkan kaunter dibuka bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang kecuali di Dewan Kampung Semop, Daro pada 29 Jun, Pejabat Daerah Lingga dan Dewan Serbaguna Long Bedian dengan kaunter dibuka dari 8.30 pagi hingga 2 petang.

Penerima turut dinasihatkan untuk membawa MyKad, MyKid atau sijil kelahiran asal bagi tujuan penunaian di lokasi yang dinyatakan dengan laluan dan kaunter berasingan turut disediakan untuk penerima 60 tahun ke atas.

“Sekiranya penerima atau waris berdaftar tidak dapat hadir pada tarikh ditetapkan, penunaian STR di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) berhampiran boleh dilakukan bermula 3 Ogos hingga 31 Dis ini,” katanya dan penunaian di BSN tidak dibenarkan sepanjang tempoh program itu berlangsung.

Kementerian Kewangan melalui kerjasama strategik dengan Perbendaharaan Malaysia Sarawak, BSN, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kerajaan Sarawak serta agensi-agensi berkaitan melaksanakan program berkenaan bagi penerima tiada akaun bank di kawasan pedalaman Sarawak.

STR merupakan bantuan kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana yang benar-benar berkelayakan dan memerlukan bagi mendepani cabaran kos sara hidup serta kenaikan harga barang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan