AM

Forum Media HAWANA 2025: Tokoh Industri Kupas Cabaran Dan Masa Depan Industri

13/06/2025 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Forum Media HAWANA 2025 yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) esok, bakal menawarkan pandangan bernilai daripada tokoh-tokoh penting industri mengenai perkembangan terkini dalam landskap media.

Seiring dengan usaha Malaysia menubuhkan Majlis Media yang baharu dalam era kemajuan teknologi pesat, forum itu akan dimulakan dengan sesi perbincangan bertajuk “Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector?”. Ia akan disusuli sesi berfokus teknologi bertajuk “AI & Media: Tool, Threat or Opportunity?” yang akan membincangkan kesan kecerdasan buatan terhadap industri media.

Forum ini selari dengan tema HAWANA 2025 iaitu “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’, dan dijangka memberi input bermakna serta pandangan objektif bagi membantu pemain industri menyesuaikan diri dalam persekitaran media yang sentiasa berubah.

Dalam sesi pertama, peserta berpeluang berinteraksi bersama Pengerusi Jawatankuasa Penaja Majlis Media Malaysia Premesh Chandran; Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Wathshlah G Naidu; dan Editor Kanan Berita Star Media Group Philip Golingai.

Sesi perkongsian pula akan menampilkan Profesor Datuk Ahmad Murad Merican dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Editor Kanan Astro Awani Nazri Kahar, serta Ketua Unit Bahasa Malaysia dan Video FMT Sdn Bhd  Zahrul Alam Yahya Shahir.

Acara yang dijangka menarik kehadiran 250 peserta termasuk tetamu antarabangsa, pelajar dan tokoh utama industri media tempatan itu akan dikendalikan oleh wartawan penyiaran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Jessy Chahal.

Selepas forum selama dua jam itu, acara kemuncak esok adalah pelancaran rasmi HAWANA 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 1,000 pengamal media, wakil persatuan wartawan tempatan dan organisasi media dari negara anggota ASEAN telah dijemput, sekali gus menghimpunkan profesional media dan pakar industri bagi bertukar pandangan serta menjalin kerjasama strategik.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan