AM

Sarawak Naik Taraf Taman Lalu Lintas

03/08/2025 06:27 PM

SIBU, 3 Ogos (Bernama) – Kementerian Pengangkutan Sarawak akan menaik taraf taman lalu lintas di seluruh negeri sebagai langkah memperkasakan semula pendidikan keselamatan jalan raya secara praktikal dalam kalangan pelajar sekolah.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata sebanyak enam taman lalu lintas sedia ada di Sarawak iaitu di Sibu, Kuching, Sri Aman, Sarikei, Bintulu dan Miri telah menerima peruntukan khas bagi memastikan kemudahan itu kekal berfungsi sebagai ruang pembelajaran yang selamat dan berimpak.

Beliau berkata Taman Lalu Lintas Rejang Park di Sibu yang dibina lebih 30 tahun lepas menerima peruntukan RM350,000 untuk kerja-kerja naik taraf, sejajar dengan usaha menyeluruh kementerian dalam memulih dan memperkukuh pendidikan keselamatan jalan raya.

“Peningkatan kemudahan ini penting agar pelajar dapat belajar dan memahami peraturan jalan raya melalui pengalaman sebenar yang menyerupai situasi di lapangan,” katanya semasa merasmikan Sarawak Traffic Games (STG) di sini hari ini.

Lee turut memaklumkan bahawa kementeriannya merancang untuk menambah bilangan taman lalu lintas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) supaya setiap bahagian di Sarawak mempunyai sekurang-kurangnya satu taman lalu lintas yang lengkap dan berfungsi.

“Kami komited untuk memperluas akses pendidikan keselamatan jalan raya kepada lebih ramai pelajar dan masyarakat luar bandar agar tiada pihak yang terpinggir dalam usaha membentuk pengguna jalan raya yang berhemah,” katanya.

Mengimbas sejarah penganjuran program itu, Lee berkata Shell Traffic Games yang mula diperkenalkan pada 1963 hasil kerjasama antara kerajaan Sarawak dan Shell Malaysia pernah memberi impak besar kepada kesedaran keselamatan jalan raya sebelum dihentikan pada 2015.

Beliau berkata program itu telah dihidupkan semula dan dijenamakan sebagai Sarawak Traffic Games pada tahun lepas bermula di Miri dan kini dijadikan program tahunan yang memberi manfaat besar kepada pelajar di seluruh negeri.

Katanya edisi STG seterusnya dijadualkan berlangsung di Sri Aman dan Bintulu menjelang akhir tahun ini dan program hari ini di Sibu menyaksikan penyertaan pelajar dari sembilan sekolah rendah dan menengah sekitar daerah tersebut.

“Penyertaan pelajar ini bukan sahaja bertujuan memenangi pertandingan malah ia membentuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain. Mari kita bina generasi yang celik undang-undang, menghormati peraturan dan bertanggungjawab di jalan raya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan