LAHAD DATU, 3 Ogos (Bernama) -- Pemerkasaan wilayah luar bandar termasuk di negeri ini menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membuktikan kerajaan tidak meminggirkan kawasan berkenaan daripada arus pembangunan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bagi Sabah, beliau melihat beberapa tumpuan khusus yang signifikan diberikan, termasuk usaha menjadikan negeri itu sebagai hab Ekonomi Biru bagi menarik pelaburan dalam industri strategik baharu.
“Kita juga akan meningkatkan langkah mitigasi banjir demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa MADANI @ Lahad Datu di Kampung Sapagaya di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan turut merancang untuk menjadikan Sabah sebagai hab pengeluaran makanan, sekali gus memperkukuh peranan kawasan luar bandar sebagai tulang belakang kepada keterjaminan makanan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 dari 2026 hingga 2030 pada Khamis lepas, mengumumkan inisiatif seperti Hab Hidrogen Sarawak dan Jaminan Bekalan Tenaga Sabah yang akan memperkukuh infrastruktur tenaga di kedua-dua negeri.
Di bawah RMK13, keutamaan juga diberi kepada pembinaan rangkaian jalan Sabah-Sarawak-Kalimantan yang selari dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur.
Turut diberi penekanan ialah strategi pembasmian kemiskinan secara intensif, transformasi digital dan sokongan terhadap daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Kerajaan turut komited memperkukuh rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak, pembangunan hab perikanan bersepadu, pelancongan pantai dan maritim, serta teknologi bio biru termasuk menaik taraf kemudahan bunkering di pelabuhan Sabah.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata RMK13 juga adalah manifestasi iltizam Kerajaan MADANI dalam membangunkan infrastruktur asas, memperkukuh keusahawanan serta meningkatkan kesiapsiagaan bencana di kawasan desa.
Pada program itu, beliau turut menyampaikan bantuan peralatan sokongan pengukuhan keusahawanan luar bandar (SPKLB) serta merasmikan bangunan tabika dan kelas kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial