AM

Projek Perumahan Baharu Perlu Komprehensif, Lengkap Kemudahan Sekolah - PM Anwar

19/07/2025 05:29 PM

BUTTERWORTH, 19 Julai (Bernama) -- Setiap projek perumahan baharu wajib dirancang secara menyeluruh dan dilengkapi kemudahan asas seperti sekolah, prasekolah dan taman asuhan kanak-kanak (taska), tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan tidak akan meluluskan projek perumahan yang gagal menyediakan kemudahan berkenaan demi kesejahteraan rakyat.

“Kalau buat rumah tapi sekolah jauh, buat apa?” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Pembangunan Rumah Bakat MADANI SkyWorld Pearlmont di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata perancangan bersepadu mampu menjimatkan kos pengangkutan, meningkatkan keselamatan serta mengurangkan kebimbangan ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke sekolah jauh dari kediaman.

Katanya kerajaan turut mempertimbangkan pembinaan sekolah secara menegak (vertical school) di kawasan terhad tanah, namun tetap lengkap dengan kemudahan seperti padang dan makmal.

Anwar turut menegaskan pelaksanaan projek secara komprehensif oleh pemaju adalah lebih baik berbanding kaedah tender berasingan yang sering menimbulkan kelewatan.

Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif syarikat pemaju SkyWorld menerusi projek Rumah Bakat MADANI yang menyasarkan kesejahteraan komuniti melalui konsep unik seperti ‘Central Park’ dan ‘Vertical School’.

Projek berkenaan juga menjadi yang pertama di negara ini menggunakan teknologi Pembinaan Volumetrik Prafabrikasi Prasiap (PPVC) – kaedah pembinaan modular seakan "LEGO" yang disiapkan sepenuhnya di kilang sebelum dipasang di tapak.

Setiap unit Rumah Bakat MADANI berkeluasan 900 kaki persegi, lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, ditawarkan pada harga antara RM225,000 hingga RM420,000 dengan status pegangan kekal.

Kediaman itu turut menawarkan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, gelanggang sukan (badminton dan pickleball), dewan serba guna, tadika, surau, gerai, kedai serta taman permainan kanak-kanak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan