AM

Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI Serlah Kepimpinan Berpaksikan Rakyat - BBC

20/07/2025 05:07 PM

PORT DICKSON, 20 Julai (Bernama) -- Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI yang diadakan di sekitar Port Dickson melambangkan manifestasi nyata komitmen Kerajaan MADANI dalam menjadikan khidmat kepada rakyat sebagai teras kepimpinan.

Menurut kenyataan Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) hari ini, program itu menyaksikan anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan MADANI menyertai pelbagai inisiatif kemasyarakatan, termasuk aktiviti gotong-royong perdana di Masjid Pusasda, Kampung Telok Pelandok dan Kampung Pachitan.

Jualan Rahmah turut diadakan dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap cabaran ekonomi yang dihadapi rakyat.

“Program itu turut disemarakkan lagi dengan kenduri rakyat dan sesi ramah mesra bersama komuniti setempat. Suasana santai dan bermakna ini menggalakkan interaksi terbuka antara pemimpin dan rakyat, seterusnya memperkukuh semangat kekitaan. 

“Ia adalah manifestasi prinsip MADANI yang meraikan nilai kasih sayang, saling menghormati dan perpaduan dalam masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyerlahkan pendekatan berpaksikan rakyat yakni kepimpinan yang turun padang, mendengar sendiri keluh kesah rakyat dan menyantuni mereka dengan empati serta tindakan yang nyata. 

“Inilah contoh nilai ihsan dan tanggungjawab sosial yang menjadi tunjang kepada falsafah Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan MADANI akan menyokong penganjuran program seumpama itu secara berterusan.

“Hanya dengan mendekati dan memahami denyut nadi rakyat, kita mampu membina sebuah negara yang lebih inklusif, adil dan bermaruah selaras dengan aspirasi besar Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan