KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Sesi libat urus lanjutan bersama peniaga susulan projek naik taraf infrastruktur di Desa Pandan akan diadakan dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata sesi libat urus yang melibatkan kementerian itu bersama sembilan peniaga terbabit akan membincangkan penempatan semula mereka yang terkesan akibat kerja naik taraf di kawasan berkenaan.
“Insya-Allah, dalam bulan ini kita akan bertemu lagi dengan mereka untuk berbincang mengenai lokasi penempatan baharu. Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Lestari Niaga’ yang sedang dilaksanakan di Kuala Lumpur.
“Sebahagian peniaga telah bersetuju, namun ada juga yang masih belum bersetuju. Oleh itu, sesi libat urus seterusnya amat penting bagi mencapai persetujuan bersama dan mempercepatkan pelaksanaan projek pelebaran jalan yang sangat penting untuk kemudahan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Projek Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di sini, hari ini.
Dr Zaliha berkata sesi libat urus terdahulu telah diadakan sejak November 2024 dan diteruskan pada Januari lepas, termasuk pemberian notis pengosongan kepada peniaga di kawasan berkenaan.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera mengadakan pertemuan dengan peniaga terbabit serta memberikan pilihan lokasi perpindahan yang sesuai.
“Jadi saya kira mereka tidak perlu bimbang tentang perkara ini. Kita akan bantu menyediakan kemudahan bagi membolehkan mereka terus berniaga,” katanya.
Sebelum ini, DBKL memaklumkan kerja-kerja perobohan struktur di Jalan 2/76, Desa Pandan, yang dijadual pada 15 Julai lepas, terpaksa ditangguhkan susulan kekecohan yang berlaku di tapak operasi.
Projek naik taraf itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur serta melancarkan aliran trafik demi keselesaan dan keselamatan warga kota.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial